KKMM tubuh unit komunikasi OKU, pertingkat komunikasi dua hala
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menubuhkan Unit Komunikasi Orang Kurang Upaya (OKU) bagi meningkatkan fasilitasi komunikasi dua hala di antara kerajaan dan golongan berkenaan.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata unit yang ditubuhkan bersempena sambutan Hari OKU hari ini akan diketuai seseorang daripada kalangan OKU.
Di samping itu katanya seorang penterjemah bahasa isyarat iaitu Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply akan dilantik sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau bagi memudah cara dan melancarkan lagi usaha komunikasi tersebut secara berterusan.
“Kami di KKMM akan turut berusaha untuk melaksanakan kaedah komunikasi yang lebih mesra OKU, antaranya penggunaan bahasa isyarat, sari kata dan suara latar dalam penyampaian maklumat dan penyediaan kandungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin yakin dengan langkah yang diambil berkenaan, kerajaan melalui KKMM akan terus dapat memperkasa komunikasi dengan rakyat termasuk warga OKU agar sentiasa seiring dan bersama-sama mengecapi kemakmuran negara.
Tegasnya, kerajaan sentiasa berpegang pada prinsip inklusiviti dengan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir sambil menyifatkan OKU sebagai golongan penting dan memberi sumbangan besar dalam pembangunan negara.
Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat hingga Oktober lepas, jumlah OKU yang berdaftar dengan JKM melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) ialah seramai 581,265 orang.
Bagaimanapun katanya, statistik itu jauh lebih rendah berbanding laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menganggarkan 15 peratus daripada rakyat sesebuah negara terdiri daripada warga OKU, sekali gus bermakna jumlah sebenar warga OKU di Malaysia jauh lebih besar daripada statistik yang ada hari ini.
“Sehubungan itu, kita harus melipatgandakan usaha untuk bukan sahaja memahami, tetapi juga menghargai warga OKU sebagai sebahagian daripada keluarga besar kita,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!