Jualan peniaga daging terjejas

Mizar menunjukkan daging sejuk beku yang dijualnya di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Mizar menunjukkan daging sejuk beku yang dijualnya di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
A
A
A

MELAKA - Aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari luar negara yang mencurigakan ketulenannya akan menghilangkan rasa percaya orang ramai terhadap jualan produk berkenaan di pasaran tempatan.

Perkara itu diakui sendiri peniaga daging sejuk beku di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mizar Mustafa, 32.

Mizar berkata, apa yang berlaku di Johor sedikit sebanyak telah memberi impak negatif terhadap perniagaan yang diusahakannya sejak lebih 15 tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan peniaga menjual daging sejuk beku kerana harganya lebih murah berbanding daging tempatan.

"Namun, disebabkan kegiatan 'gelap' yang dilakukan sindiket tidak bertanggungjawab ini telah menyebabkan pembeli hilang kepercayaan dan jualan daging pun terjejas.

"Sedangkan saya bertanggungjawab melihat sendiri daging sejuk beku asli yang diambil daripada pengedar di Kuala Lumpur dan dibawa dari negara yang dibenarkan mengeksport daging halal," katanya.

Jelasnya kebiasaanya dia akan melihat kotak daging sejuk beku yang dihantar terlebih dahulu bagi memastikan daging terbabit disertai logo halal yang sah.

"Pernah juga saya dapat kotak berwarna coklat yang hanya bertulis menggunakan pen 'marker', jadi saya pulangkan semula dan minta mereka hantar yang betul-betul 'certified' (sahkan)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mizar
Mizar

Sinar Harian semalam menyiarkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai semalam.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Sementara itu, bagi peniaga daging kambing sejuk beku, T Selvakumar Thangaraja, 45, berharap agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus memberikan perhatian serius berhubung isu ini agar tidak memberikan impak kepada pendapatan peniaga daging sejuk beku dalam tempoh masa panjang.

Menurutnya, sebagai peniaga kecil-kecilan sudah pasti dia adalah pihak terakhir yang menerima daging sejuk beku sebelum dijual, maka agak sukar untuknya menentukan ketulenan atau keaslian daging itu sama ada ia halal atau berselindung di sebalik logo halal tidak sah.

"Pihak terbabit perlu ambil tindakan dan pantau syarikat-syarikat besar di Kuala Lumpur yang hantar daging sejuk beku ke Melaka dan pembekal-pembekal di pasar borong.

"Saya akan memastikan pengedar mengemukakan sijil halal setiap kali membuat penghantaran sebulan sekali bagi mengelak mendapat daging yang tidak halal untuk pelanggan Islam saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!