SAM gesa Kedah dedahkan butiran industri REE

Meenakshi Raman
Meenakshi Raman
A
A
A

ALOR SETAR - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Kedah mendedahkan kepada umum penjanjian yang dimeterai dengan syarikat yang diberikan kelulusan meneroka industri Rare Earth Element (REE) di negeri itu.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, rakyat Kedah berhak mengetahui apakah yang akan dilakukan syarikat terbabit dan lokasi penerokaan serta langkah-langkah perlindungan alam sekitar dan sosial yang dipertimbangkan.

Menurutnya, ini kerana dakwaan penerokaan REE tidak meninggalkan kesan sosial atau alam sekitar adalah tidak benar, terutama apabila mineral itu diteroka di kawasan sensitif seperti hutan simpan atau tempat tinggal komuniti.

“SAM turut gesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dedahkan dasar kerajaan berhubung pembangunan industri nadir bumi, selain adakan rundingan awam sebelum membenarkan negeri-negeri memulakan usahasama sebegini, bukan sahaja di Kedah dan Perak termasuk negeri lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Meenakshi berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak seharusnya dibutakan dengan janji pulangan berbilion atau trilion ringgit hasil daripada industri nadir bumi, keutamaan harus diberikan kepada kesan industri terbabit yang menghasilkan toksik dan pencemaran.

Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan negeri telah membuat perjanjian dengan syarikat usahasama berpengkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka REE tidak beradioaktif di Sik, Ulu Muda dan Baling.

Mengulas lanjut, pihaknya percaya usahasama Kedah itu sama seperti dijalankan di Perak dan mahu Muhammad Sanusi mengesahkan sama ada usahasama itu melibatkan syarikat China yang sama.

“Dakwaan sama dibuat pada tahun lepas oleh bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) berhubung perjanjian antara syarikat China dan Perak untuk meneroka galian nadir bumi. Usahasama itu melibatkan kerajaan negeri dan syarikat China, Chinalco GXNF Rare Earth Development.

Artikel Berkaitan:

KATS dakwa China mempunyai kepakaran mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak, terutama tanah liat ion-adsorption, tidak mengandungi thorium atau uranium sebagai sisa produk-sampingan,” katanya.

Meenakshi berkata, walaupun kerajaan negeri dan Persekutuan tegaskan usahasama itu tidak melibatkan unsur radioaktif, pihaknya tetap bimbang dengan kesan terhadap alam sekitar.

“Penyelidikan awal SAM mendapati terdapat kerosakan alam sekitar yang serius dan kesan terhadap kesihatan manusia berkaitan perlombongan dan pelarutresapan sumber tanah liat nadir bumi ion-adsorption di China.

Kajian 2013 oleh enam ahli akademik Universiti China mengenai kesan industri nadir bumi ion-adsorption di Selatan China mendedahkan kesan kemusnahan alam sekitar di wilayah itu. Kajian ‘China’s ion-adsorption rare-earth resources, mining consequences and preservation’ dedahkan banyak penemuan membimbangkan,” katanya.

Menurutnya, pada Jun 2011, kerajaan China menguatkuasakan pengharaman perlombongan permukaan dan melarutresapan dalam tangki/timbunan ketika melaksanakan pelarutresapan in-situ bagi nadir bumi ion-adsorption.

“Menurut kajian, perlombongan permukaan/puncak gunung untuk bijih nadir bumi ion-adsorption menjadi pendorong kepada perubahan guna-tanah dan kemerosotan tanah di Selatan China, menyebabkan kehilangan kekal ekosistem, hakisan teruk, pencemaran udara, kehilangan biodiversiti serta masalah kesihatan,” katanya.

Malah, katanya, kajian itu menganggarkan kos perlombongan itu melebihi manfaat diperolehi, dan ia belum mengambil kira kos terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

“Kajian itu turut menyatakan teknologi pencucian in-situ berkelebihan dalam bentuk pembersihan tumbuhan permukaan dan penggalian tanah, bagaimanapun penguatkuasaan pembersihan in-situ untuk menangani masalah alam sekitar yang dikaitkan dengan perlombongan dan penggalian nadir bumi masih diperdebatkan,” katanya.

Menurut kajian itu lagi, amalan pelarutresapan in-situ mendedahkan masalah alam sekitar yang serius seperti pencemaran air bawah tanah, lombong runtuh dan tanah runtuh.

“Lebih 100 kejadian tanah runtuh dilaporkan di wilayah Ganzhou disumbangkan oleh amalan pelarutresapan dan perlombongan in-situ, dengan kos kerugian dan kesan ketara kepada manusia. Tebus guna lombong pelarutresapan in-situ yang telah selesai juga amat tinggi kosnya berbanding perlombongan permukaan/lombong pelarutresapan timbunan,” katanya.

Sehubungan itu, SAM mempersoal hasrat Kedah mahu meneroka galian nadir bumi sedangkan aktiviti perlombongan dan pemprosesan REE bakal memusnahkan alam sekitar dan memberi kesan kepada kesihatan manusia.

“Kita perlu cari alternatif kepada nadir bumi memandangkan ia bersifat merosakkan alam. Malaysia mestilah mengutamakan alam sekitar dan tidak terus menjarah atau merosakkan sumber asli, dengan alasan menjana ekonomi.

Ternyata, kita tidak pernah belajar daripada pengajaran lepas terhadap apa yang dikatakan mampan, sebaliknya meninggalkan legasi toksik untuk generasi akan datang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mineral bernilai RM60 bilion diteroka di Kedah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!