Semua bahan mineral di dalam bumi ada radioaktif
SHAH ALAM - Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) memaklumkan bahawa bahan mineral yang berada di dalam bumi secara semulajadinya mengandungi bahan radioaktif.
Menurut lembaga tersebut, bahan itu juga dikenali sebagai Bahan Radioaktif Berlaku Secara Semulajadi atau ringkasnya NORM.
"Sehubungan itu, sebarang aktiviti ekonomi yang melibatkan unsur nadir bumi (REE) yang mengandungi NORM adalah tertakluk di bawah kawalan perundangan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) sekiranya kandungan keradioaktifannya (uranium dan torium) melebihi had yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan tentang penemuan mineral jenis REE yang dianggarkan bernilai RM60 bilion.
Mineral itu yang digunakan dalam pembuatan komponen peranti seperti komputer riba, komputer dan telefon pintar akan diteroka di negeri Kedah oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Muhammad Sanusi menjelaskan, permit meneroka syarikat tersebut sudah diluluskan oleh pihaknya pada minggu lepas dan mineral tersebut berada dalam kategori tidak beradioaktif.
Menurutnya, kawasan mineral tersebut banyak tertumpu di kawasan Sik dan cara mengekstrak mineral tersebut tidak akan melibatkan aktiviti perlombongan.
Sehubungan itu, AELB berkata, pihaknya akan memastikan kesemua keperluan perundangan yang berkaitan dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Ini bagi menjamin keselamatan pekerja dan orang awam serta memelihara alam sekitar daripada sebarang potensi bahaya sinaran mengion,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!