Pemalsuan logo halal: Gesa kerajaan lakukan siasatan menyeluruh
JOHOR BAHRU - Kerajaan harus membuat siasatan menyeluruh berhubung pembongkaran kartel yang terlibat dalam pemalsuan logo halal terhadap daging yang diimport masuk untuk dijual di pasaran Malaysia.
Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, siasatan itu perlu supaya semua rantaian yang terlibat tidak terlepas termasuk kemungkinan berlaku ketirisan dalam agensi penguatkuasaan.
"Sehubungan itu, siasatan perlu melibatkan pelbagai pihak antaranya polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Kewujudan kartel membawa masuk sejumlah kontena berisi daging sejuk beku juga menunjukkan kemungkinan terdapat ketirisan penguatkuasaan agensi tertentu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyerbu sebuah stor di Senai, dekat sini yang didapati meletakkan label halal terhadap daging yang diimport.
Muhammed Farhan berkata, penipuan logo halal adalah perbuatan serius dan menunjukkan terdapat pihak sengaja membekal barangan makanan tidak halal tetapi dilabelkan sebagai halal untuk mengaut keuntungan.
Katanya, pendedahan kegiatan jenayah tersebut secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti logo Halal Malaysia oleh Jakim yang diperakukan piawaiannya di seluruh dunia.
Pihaknya juga berharap sektor terlibat seperti operator hotel, restoran, rangkaian pasar raya serta stokis lebih peka bagi memastikan sumber bekalan daging mereka.
"Ini penting kerana melibatkan soal kehidupan dan pematuhan umat Islam terhadap suruhan agama supaya mengambil makanan dan minuman yang halal.
"Selain produk daging sejuk beku, kerajaan juga perlu membuat semakan semula status produk import berasaskan daging lembu, ayam dan kerbau yang menggunakan logo halal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!