Israel, AS dan negara Arab Saudi
[DIKEMASKINI] TIDAK dapat diselindung lagi. Negara Arab Saudi, Israel dan Amerika Syarikat (AS) sedang berkonspirasi. Benjamin Netanyahu meminta menyerang fasiliti uranium Iran ketika pertemuan di Neom, Arab Saudi dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada November lalu.
Mohammed agak keberatan untuk memenuhi tuntutan Israel menyerang Iran. Dua serangan ke atas sasaran minyak Arab Saudi mengingatkan Arab Saudi tentang amaran Iran bahawa Iran mampu menyerang balas.
Pertemuan tiga penjuru termasuk Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo juga tidak mahu komit menyerang instalasi uranium Iran.
Namun, Netanyahu tetap mendesak supaya menyerang Iran. Di pihak AS, latihan ketenteraan berterusan untuk bersiap melancarkan serangan ke arah Iran. Serangan terbaharu ke atas dua instalasi minyak Arab Saudi oleh roket Al Quds daripada kumpulan Houthi dan serangan Iran terhadap kapal minyak milik Greek di Laut Merah telah menyebabkan Arab Saudi berfikir dua kali untuk melancarkan serangan ke atas Iran.
Riyadh menafikan pertemuan yang dilapor oleh akhbar Israel, Haaretz berdasarkan ciapan Menteri Luar Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al Saud.
AS melaporkan pertemuan Pompeo dan Mohammed di Neom tetapi tidak menyebut Netanyahu. Namun, maklumat telah bocor. Perang ke atas Iran amat berbahaya. Arab Saudi tidak mungkin mahu mencetuskan perang jika tiada jaminan AS.
Pentadbiran Joe Biden dijangka tidak berpendirian untuk menyokong perang terhadap Iran. Namun, Donald Trump mungkin melancarkan perang ke atas Iran tetap ada kerana mahu membalas dendam atas kekalahannya kepada Biden.
Mohammed pula dalam dilema. Tumpuannya kepada Biden. Pada masa yang sama, menantu Trump, Jared Kushner dan Pompeo sedang menekan Mohammed supaya mengadakan hubu-ngan rasmi (normalisasi) dengan Israel. Pompeo cuba mempengaruhi supaya pertemuan rasmi diadakan dengan Netanyahu. Secara kompromi, akhirnya pertemuan rahsia diadakan di Neom.
Sebenarnya Mohammed tidak mahu mengadakan normalisasi dengan Israel bukan kerana simpati kepada Palestin. Beliau tidak pernah menyokong Palestin. Jika Arab Saudi mengadakan hubungan dengan Israel sekarang, bermakna ia berlaku pada zaman Raja Salman yang sedang uzur.
Pompeo berterus terang dengan Mohammed. Di bawah pentadbiran Biden, Arab Saudi tidak dijamin dilindungi AS.Pompeo memberitahu Mohammed bahawa jika mahu dilindungi, beliau perlu menunjukkan sokongan kepada Trump. Kini Biden mengambil alih dan Biden sudah menyatakan bahawa Arab Saudi bertanggungjawab ke atas pelanggaran hak manusia dan berjanji akan mengurangkan penjualan senjata kepada Arab Saudi.
Semakin ramai kini bersikap kritikal terhadap Mohammed. Kini, Raja Salman cuba memulih hubungan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Faktanya, jika Biden berunding dengan Iran, Arab Saudi dan Turki perlu bertemu.
Yemen juga telah menambah rumit keadaan. Apabila MBZ (Mohammed Bin Zayed, Raja Muda Abu Dhabi) telah dapat menguasai selatan Yemen. Mohammed berdepan konflik sebenar iaitu dengan Houthi. Ekonomi Arab Saudi terbeban dengan perang Yemen.
Hubungan Arab Saudi, Israel dan AS kini telah merumitkan proses damai di Asia Barat. Isu Palestin adalah isu paling kritikal. Selagi hak pembebasan Palestin tidak diperjuangkan, selagi itu keadaan Teluk dan negara Arab akan bertambah buruk. Kredibiliti Arab Saudi kini sangat terjejas. Jika ia terus 'berasmara’ dengan AS dan Israel, lambat laun ia akan berdepan dengan Palestin.
* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!