Umat Islam untung hubungan Turki-Arab Saudi pulih

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menerima panggilan telefon daripada Raja Arab Saudi pada 20 November lalu. - Foto AFP
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menerima panggilan telefon daripada Raja Arab Saudi pada 20 November lalu. - Foto AFP
A
A
A

[DIKEMASKINI] SATU panggilan telefon antara Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz pada 20 November lalu dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang membincangkan tentang hubungan dua hala antara kedua-dua pihak merupakan satu perkembangan yang dinanti-nantikan umat Islam ketika ini.

Menurut laporan media, Pejabat Presiden Turki mendedahkan baru-baru ini bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua buah negara dan menyelesaikan semua perbalahan menerusi dialog.

Panggilan telefon itu dibuat kerana Raja Salman menghubungi Erdogan untuk menyelaraskan usaha-usaha bagi menjayakan Sidang Kemuncak Kumpulan Negara 20 (G20) yang berlangsung pada 21 November dan 22 November lalu.

Sebelum ini hubungan antara kedua-dua buah negara tegang sejak kematian seorang wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi di Pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada tahun 2018.

Kes itu telah mendapat perhatian masyarakat antarabangsa dan menjejaskan imej Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Beberapa pegawai Turki berkata, Khashoggi telah dijerut dan mayatnya dikerat-kerat oleh sebuah skuad penembak Arab Saudi di dalam pejabat tersebut dan mayatnya juga tidak ditemui sehingga sekarang.

Semasa kejadian, wartawan itu yang juga kolumnis akhbar The Washington Post mahu mendapatkan dokumen bagi membolehkan beliau berkahwin dengan tunangnya iaitu seorang wanita Turki.

Erdogan didakwa berkata, arahan untuk membunuh Khashoggi datangnya daripada 'peringkat tertinggi' kerajaan Arab Saudi tetapi tidak pernah menyalahkan Putera Mohammed dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pada September lalu, sebuah mahkamah Arab Saudi menukarkan hukuman mati kepada penjara sehingga 20 tahun kepada lima individu yang didapati bersalah dalam kejadian tersebut.

Kes pembunuhan itu juga masih dibicarakan di Turki ke atas beberapa pegawai penting Arab Saudi tanpa kehadiran mereka di mahkamah.

Lanjutan daripada kejadian itu, terdapat kempen memboikot barangan dari Turki yang menyebabkan beberapa pasar raya di Arab Saudi tidak lagi menjual barangan dari negara tersebut dan ia turut melibatkan produk haiwan.

Sebelum itu, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir memutuskan hubungan dengan Qatar pada tahun 2017 dengan menuduh Doha menyokong kumpulan yang dilabel pengganas oleh Kaherah iaitu Ikhwanul Muslimin yang beroperasi di Mesir.

Riyadh melaksanakan kempen memboikot barangan dari Turki yang dilakukan secara tidak rasmi baru-baru ini. - Foto AFP
Riyadh melaksanakan kempen memboikot barangan dari Turki yang dilakukan secara tidak rasmi baru-baru ini. - Foto AFP

Dalam pada itu, Turki dan Qatar pula telah menandatangani berpuluh-puluh kerjasama ekonomi dan ketenteraan.

Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud berkata, Riyadh sedang berusaha untuk memulihkan hubungan dengan Qatar tetapi masih menitikberatkan soal keselamatan negaranya.

Perbalahan itu bermula pada tahun 2017 apabila Bahrain, Arab Saudi, UAE dan Mesir mengenakan sekatan ke atas Qatar, memutuskan hubungan diplomatik serta pengangkutan kerana menuduh Doha menyokong aktiviti keganasan.

Bagaimanapun, Qatar menafikan semua tuduhan ke atasnya kerana ia dilaporkan tidak mahu melabelkan Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas.

Turki pula dilihat menyokong kumpulan Ikhwanul Muslimin.

Namun, komunikasi terbaharu antara Raja Salman dengan Erdogan itu menunjukkan tanda-tanda positif bawa hubungan kedua-dua negara kembali pulih selepas beberapa tahun berada dalam keadaan dingin.

Bagaimanapun, seorang pegawai Turki yang enggan dinamakan memberitahu sebuah portal Turki bahawa panggilan tersebut tidak membuka satu lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara.

"Kita perlu melihat ke mana (hubungan itu) akan pergi," kata pegawai tersebut.

Justeru, pemulihan hubungan antara Arab Saudi dengan Turki itu dijangka menamatkan kempen pemulauan barangan dari Turki yang dilaksanakan secara tidak rasmi oleh Arab Saudi sebelum ini.

Ini adalah kerana Turki merupakan negara pengeksport kesembilan terbesar Arab Saudi.

Penamatan itu juga akan memberikan keuntungan perdagangan kedua-dua buah negara kerana Arab Saudi pernah mencatatkan import barangan dari Turki yang mencecah nilai sehingga AS$222.28 juta (RM905.90 juta) pada bulan Ogos, menurut Pihak Berkuasa Awam Arab Saudi Untuk Statistik.

Import Arab Saudi ke Turki turut meningkat untuk bulan Julai.

Justeru, pemulihan hubungan itu juga akan menguntungkan umat Islam. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!