Penganggur pecah rumah dijel 20 bulan
KUALA TERENGGANU - Malang berganda, seorang penganggur bukan sahaja kantoi di tangan pemilik rumah sebelum sempat mengambil barang berharga tetapi turut terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 20 bulan kerana memecah masuk sebuah rumah.
Keputusan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas tertuduh, Azlan Shafiee, 22, dari Batu Enam di sini, mengaku salah pertuduhan disabitkan ke atasnya.
Azlan didakwa memecah masuk sebuah rumah di Taman Sri Wakaf Baru, Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, jam 3.15 pagi pada 30 Ogos 2018.
Didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!