'Kalau sudah berdua, kopiah pun boleh jatuh'

Dr Ahmad Sanusi
Dr Ahmad Sanusi
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang membawa gelaran Da'i, Pencetus Ummah (PU) dan Imam Muda atau pendakwah, ustaz serta agamawan mempunyai tanggungjawab berat untuk menjadi contoh kepada masyarakat dan bukan sekadar hanya menyampaikan dakwah sebaliknya akhlak perlu dipelihara.

Timbalan Pengarah (Akademik dan Pentadbiran), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, menjadi tanggungjawab individu tersebut untuk menjaga 'title' berkenaan bagi mengelakkan masyarakat melabelkan mereka sebagai penunggang agama.

"Jujurnya, isu penunggang agama memberi impak kepada Islam itu sendiri kerana ia fitnah baharu terhadap Islam. Individu tidak ikhlas menyampaikan dakwah sebaliknya 'menggunakan' agama setelah meraih kepercayaan dan populariti daripada masyarakat.

"Seperti mana dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah membayangkan tentang kemunculan golongan pendakwah yang menyeru manusia ke pintu neraka. Mereka mengajak manusia melakukan kejahatan yang bercanggah dengan ajaran Rasulullah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah selebriti direman lagi kes salah laku seks

Polis Selangor terima enam laporan berkaitan pendakwah selebriti

"Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah ketika ditanya oleh Saidina Huzaifah. Huzaifah bertanya tentang apakah perkara yang lebih buruk daripada kaum yang tidak mengamalkan sunnah Rasulullah. Lalu Rasulullah menjawab, "Pendakwah di pintu neraka jahanam. Barang siapa yang menyahut panggilan mereka, mereka akan mencampaknya ke dalam neraka.” (HR al-Bukhari)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau juga menyatakan kebimbangan akan kewujudan pendakwah yang menyeru kepada kebatilan, kerosakan isu akidah dan pemikiran liberal malahan wujud golongan yang menggunakan agama sebagai topeng melakukan maksiat.

Artikel Berkaitan:

Dr Ahmad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pendakwah selebriti yang terpalit dengan kontroversi beberapa dakwaan kes rogol.

Dalam pada itu, ketika ditanya kewajaran program-program realiti pendakwah diteruskan, beliau memberitahu, penganjuran program itu perlu dikaji semula kerana ia memberi kesan positif dan negatif.

"Pengisian program yang dianjurkan dalam tempoh singkat, selama enam bulan tidak mampu melahirkan seorang pendakwah jika dibandingkan dengan individu yang menuntut ilmu bertahun-tahun di sesebuah universiti.

"Perincian juga perlu diberikan kepada kriteria calon adakah mereka benar-benar layak, setanding untuk menjadi seorang pendakwah yang disegani masyarakat, bukan sekadar popular tetapi mempunyai 'isi', akhlak yang boleh dijadikan 'role model' kepada orang ramai.

"Namun saya percaya, tidak semua lahir daripada program realiti ini tidak bagus, ramai juga yang bagus tetapi apabila timbul kontroversi membabitkan pendakwah selebriti, ia terpalit juga kepada peserta lain," katanya.

Beliau juga memberitahu, golongan pendakwah juga adalah manusia yang boleh melakukan kesilapan.

"Sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan kerana tiada manusia yang sempurna. Nasihat untuk saya sendiri juga.

"Cuma saya nak pesan kepada orang ramai khususnya kaum wanita untuk lebih berhati-hati dengan sesiapa jua. Jangan mudah percaya.

"Jangan kerana dia seorang pendakwah, memiliki populariti, terkenal dan mengajak melakukan kejahatan yang bercanggah dengan ajaran Islam, kita pun ikut, sahut.

"Kita boleh fikir rasional perkara itu dan menolak secara baik. Kalau sudah berdua waktu pagi, kopiah pun boleh jatuh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!