Mayat peniaga ditemui dengan kesan cedera di leher
KUALA KETIL - Mayat seorang peniaga yang dilaporkan hilang ditemukan dekat Lubuk Segintah dalam keadaan terapung di sungai dengan kesan cedera di leher, kira-kira 2 kilometer dari jambatan Sungai Ketil jam 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, penemuan mayat terbabit menguatkan lagi kemungkinan bahawa kes itu mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.
Menurutnya, mayat telah disahkan oleh anggota keluarga adalah mangsa yang hilang, Sivaguru Gopal, 32, yang merupakan seorang peniaga namun menjalankan kegiatan mencari barangan lusuh sebagai pekerjaan sampingan.
"Punca kematian dan kesan kecederaan di leher hanya dapat dikenal pasti setelah pasukan forensik menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mangsa ditemukan selepas 48 jam dilaporkan hilang, setelah keluar rumah lebih kurang jam 10 malam Selasa lalu.
Syed Basri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Katanya, dengan penemuan terbabit, operasi mencari dan menyelamat pada hari ketiga yang dibantu anggota Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Anggota Pertahanan Awam Malaysia Daerah Baling ditamatkan.
Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis tidak menolak kemungkinan berlakunya kegiatan jenayah berdasarkan penemuan tompokan darah milik mangsa di dua lokasi berasingan yang ditemui dekat lori mangsa yang ditinggalkan di tempat pembuangan sampah Taman Orkid dan jambatan Sungai Ketil, Rabu lalu.
Mangsa dikatakan keluar mencari barangan lusuh di sekitar Kuala Ketil setiap malam dan disedari hilang oleh ahli keluarga kerana tidak pulang pada jam sekitar 4 pagi pada kebiasaannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis tidak tolak unsur jenayah kehilangan Sivaguru
Tompokan darah di lori pengutip sampah dilapor hilang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!