Bayi setahun maut tersedak susu
SEREMBAN - Seorang bayi lelaki berusia setahun meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Taman Nusa Intan, Senawang di sini pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu disedari Md Zarif Md Johari, 36, dan isterinya, Zurriyati Ishak, 29, apabila terdengar bunyi batuk anaknya, Zulkarnain Md Zarif.
Menurutnya, ketika kejadian anak bongsu daripada lima beradik itu sedang tidur di atas katil bersamanya suami isteri.
"Bila saya bangun saya tengok dia dah muntah susu dan bibirnya biru. Saya cuba tepuk belakang badan tapi dia tidak lagi bernafas.
"Saya dan isteri kemudian segera membawanya ke hospital swasta yang berhampiran. Sebaik sampai, pihak hospital cuba memberikan bantuan pernafasan namun mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) hari ini.
Menurutnya, anaknya baru sahaja keluar dari hospital semalam, selepas ditahan di wad Rabu lalu kerana alami demam yang berulang-ulang selain tiada selera makan.
Bagaimanapun katanya, anaknya dibenarkan keluar dari hospital petang semalam dan laporan perubatan mendapati dia berada dalam keadaan baik.
"Saya reda dengan ketentuan ALLAH. Tapi sedih kerana saya dan isteri baharu saja menyambut hari lahir arwah bulan lalu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!