Empower ECER bantu pelajar B40

 Lima peserta Empower ECER yang memperoleh 7A dalam percubaan SPM menerima sumbangan barang keperluan.
Lima peserta Empower ECER yang memperoleh 7A dalam percubaan SPM menerima sumbangan barang keperluan.
A
A
A

MARANG – Seramai 1,800 pelajar Tingkatan Lima di Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari depan mendapat manfaat dari program Pembangunan Kecemerlangan Akademik Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Kumpulan pelajar terdiri daripada keluarga B40 itu terpilih mengikuti program meningkatkan kecemerlangan akademik dan motivasi diri sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM secara percuma kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Pengurus Projek Program Empower ECER, Mohd Nazron Ismail berkata, program berkenaan pada tahun ini menunjukkan impak positif apabila tiga hingga 10 peratus pelajar yang terpilih memperoleh keputusan 5A ke atas dalam percubaan SPM bulan lepas.

“Walaupun dalam pandemik Covid-19, alhamdulillah kita masih mampu bantu tingkatkan akademik pelajar berpandukan modul terbaik yang kita bangunkan bersama gabungan guru-guru pakar yang disyorkan sendiri oleh JPN.

“Uniknya pada tahun ini, program akademik melalui kelas tuisyen dan kem motivasi yang sebelum ini dilaksanakan dalam kumpulan besar kini dibuat dalam skala kecil serta patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Bagi saya, setiap pelajar itu sebenarnya bukan lemah cuma mungkin mereka tidak diberi perhatian atau tidak berkemampuan hadiri kelas seumpama ini,” katanya pada majlis sumbangan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM 2020, Ahad lalu.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohamad Nawawi Rani.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nazron (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar cemerlang.
Mohd Nazron (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar cemerlang.

Pada majlis itu, lima peserta Empower ECER bagi daerah Marang yang berjaya mendapat 7A menerima sumbangan berupa barang keperluan dapur berupa beras, bihun, susu, the, milo, tepung beras dan kicap.

Program Empower ECER dijalankan oleh ECERDC dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat kemudahan pendidikan percuma.

Ia melibatkan 200 pelajar bagi setiap daerah di tiga negeri iaitu Kemaman, Dungun, Marang dan Hulu Terengganu di Terengganu, empat daerah di Pahang iaitu Temerloh, Jerantut, Maran dan Rompin serta daerah Mersing di Johor.

Peluang keemasan

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara, Nurul Hudiya Syahirah Awang Kechil, 17, bersyukur dipilih sebagai salah seorang peserta kerana mampu menjimatkan wang dari mengikuti kelas tuisyen berbayar.

NURUL AISYAH MAISARAH
NURUL AISYAH MAISARAH

Sebelum ini, anak pesara dari Kampung Sungai Kerak itu membayar RM50 sebulan bagi setiap mata pelajaran yang diikutinya dan ia agak membebankan keluarganya.

“Alhamdulillah, saya tidak perlu lagi mengeluarkan belanja kelas tuisyen kerana kelas tambahan Empower ECER ini diberi percuma kepada kami selama empat kali seminggu bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang di sekolah,” katanya.

NOOR AISYA ALEYA
NOOR AISYA ALEYA

Rakan sekolahnya, Noor Aisya Aleya Rosdi, 17, dari Kampung Sentul Patah, menyifatkan program Pembangunan Kecemerlangan Akademik Empower berjaya membantunya meningkatkan prestasi akademik ke tahap lebih tinggi.

Menurut anak bongsu dari empat beradik ini, selepas mengikuti program itu dia berjaya mendapat tujuh A dalam peperiksaan percubaan SPM pada Oktober lalu berbanding lima A pada ujian sebelum ini.

“Saya gembira dengan perkembangan ini. Program Empower ECER sangat bagus kerana dapat menambah ilmu pengetahuan bukan setakat yang kita dapat di sekolah semata-mata, memang boleh nampak hasil peningkatan.

“Modul disediakan juga terkini dan bagus, ia menjadi panduan untuk kita belajar di rumah selain rujukan menjawab soalan peperiksaan,” katanya yang menyertai kelas lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

NURUL HUDIYA SYAHIRAH
NURUL HUDIYA SYAHIRAH

Kenyataan itu disokong oleh seorang lagi peserta, Nurul Aisyah Maisarah Mat Ali, yang menganggap dirinya bertuah kerana berjaya mendapat keputusan lebih cemerlang walaupun hanya menyertai program tersebut dalam tempoh dua bulan.

Pelajar SMK Seberang Marang itu berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan program bermula agak lewat iaitu sekitar bulan Ogos namun ia tetap berjaya membimbing dan mengubah pelajar dari peringkat sederhana kepada cemerlang.

“Kelas tuisyen ini dibuat dalam tempoh dua jam sehari bagi setiap mata pelajaran, tempoh masa yang panjang memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi dengan guru tentang apa yang kami tidak faham atau mahu lebih penjelasan.

“Selain itu, kami juga diberi makan tengah hari secara percuma sebelum kelas bermula. Jadi kami lebih seronok belajar selain jimatkan wang belanja,” katanya.

SITI NUR ANISAH
SITI NUR ANISAH

Berkongsi perasaan sama, Siti Nur Anisah Abdul Latiff, dari Kampung Darat Pak Chan berkata, dia yang lemah dalam Matematik dan Bahasa Inggeris tidak mampu meningkatkan penguasaan dengan mengikuti kelas tuisyen berbayar atas faktor kewangan.

Dia teruja dan gembira apabila dipilih sebagai peserta Empower ECER dan akhirnya berjaya memperoleh keputusan lebih cemerlang bagi dua mata pelajaran tersebut dalam percubaan SPM baru-baru ini.

Berbaki tiga bulan lagi sebelum SPM bermula, Siti Nur Anisah akan melakukan pecutan untuk mencapai sasaran 8A dalam peperiksaan nanti dan seterusnya merealisasikan cita-citanya menyambung pelajaran di UniSZA.

NURUL NASUHA
NURUL NASUHA

Rakan sekolahnya, Nurul Nasuha Anuar berkata, program Empower ECER memberinya peluang mendapat ilmu tambahan melalui latihan dan tunjuk ajar dalam kelas yang dianjurkan sebagai pelengkap kepada sesi pembelajaran biasa.

“Saya harap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar berketerampilan dan cemerlang khususnya bagi golongan B40,” katanya yang tinggal di Kampung Darat Pak Chan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!