PKR Perak nasihat Peja 'muhasabah diri'
IPOH - Pengerusi Parti Keadilan Perak (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menasihatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya bermuhasabah diri susulan hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terutama daripada UMNO di Sidang DUN Perak hari ini.
Gesaan itu dikemukakan Setiausaha Politik Presiden PKR itu yang menyifatkan penolakan Ahmad Faizal daripada jawatan itu sebagai bukti jelas bahawa Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sememangnya tidak ada keabsahan sokongan majoriti ADUN untuk dilantik sebagai Menteri Besar.
"Usul daripada ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abd Manaf Hashim (daripada BN) yang telah disegerakan membuktikan bahawa kerajaan Peja (Ahmad Faizal) tidak ada keabsahan.
"Keadilan Perak menerima keputusan ini dengan baik dan kita akan memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri agar fokus kepada kebajikan rakyat tidak terabai.
"Saya juga ingin nasihatkan Peja untuk bermuhasabah diri setelah ditolak oleh parti komponen sendiri walaupun hanya 9 bulan bersama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan Ahmad Faizal Ahmad Faizal yang disahkan hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti 59 ADUN Perak.
Usul undi percaya yang dibawa oleh Abd Manaf itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.
Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang menerima usul berkenaan.
Sebentar tadi, 24 ADUN blok pembangkang mengumumkan pendirian mereka mengundi untuk tidak menyokong kepimpinan Peja selaku Menteri Besar Perak, selaras dengan pendekatan neutral mereka sebagai pihak pembangkang.
Pada awal sesi pagi ini, usul undi percaya Menteri Besar Perak itu diminta untuk dibahaskan lebih awal berbanding usul lain termasuk Rang Undang-undang Perbekalan 2021 iaitu Belanjawan Negeri Perak.
Sementara itu, Farhash Wafa Salvador turut memuji semangat kesepakatan 59 ADUN Perak dalam menjamin masa depan rakyat dengan menolak Ahmad Faizal daripada terus menyandang jawatan Menteri Besar.
ARTIKEL BERKAITAN:[EKSKLUSIF] ADUN UMNO antara 10 wakil rakyat sokong Peja?
Saya terima dengan reda: MB Perak
MB Perak hilang sokongan majoriti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!