Sudah nasib Mak Cik Kiah

A
A
A

MAKA diceritakan, Mak Cik Kiah yang bekerja sebagai tukang cuci, gajinya sebanyak RM1,200. Ketika pandemik Covid-19 ini, syarikat Mak Cik Kiah telah mengurangkan gaji beliau sebanyak 20 peratus.

Bakinya gaji beliau sebanyak RM960 sahaja. Dengan penuh harapan dan doa, Mak Cik Kiah pun pergi ke KWSP untuk memohon i-Sinar. Namun apakan daya, Mak Cik Kiah kecewa kerana diberitahu tidak layak disebabkan gaji dikurangkan 20 peratus dan bukannya 30 peratus.

Lain pula ceritanya Bidin. Bidin bukan calang-calang orang. Bekerja di tempat yang agak stabil. Beliau merupakan seorang jurutera kanan yang bergaji RM10,000 dan mempunyai elaun-elaun lain.

Namun disebabkan Covid-19, maka Bidin bersedih hati kerana gajinya dikurangkan sebanyak 30 peratus. Walau kecewa pada mulanya, namun Bidin juga gembira kerana diberitahu layak untuk memohon i-Sinar.

Dengan berbekalkan dokumen yang menyatakan gaji Bidin telah dipotong 30 peratus dan masih berbaki RM7,000 lagi, maka Bidin dengan penuh bersemangat dan gembira telah memohon i-Sinar.

Seperti yang dijangkakan, KWSP telah meluluskan permohonan Bidin yang cukup lengkap dengan dokumen itu.

Bidin tersenyum lebar dengan duit KWSP yang diperoleh beliau. Yang lebih menggembirakan Bidin pula yang telah bekerja sebagai jurutera hampir 20 tahun ialah simpanan KWSP beliau telah mencecah ratusan ribu.

Sekali lagi Bidin ketawa kerana dapat pula membuat pengeluaran sehingga RM60,000.

Artikel Berkaitan:

Bidin mencongak-congak, hendak membeli tanah yang mungkin ada rakyat jelata yang terdesak untuk meneruskan kehidupan hendak menjualnya, atau mungkin membeli rumah kampung sebagai aset masa tua yang Bidin mendapat berita di kampungnya, ada orang hendak menjualnya untuk membayar hutang bank, ataupun membeli emas sebagai pelaburan jangka panjang, yang harganya sedang jatuh sekarang disebabkan vaksin Covid-19 telah berjaya dihasilkan.

Namun bagaimana pula dengan Mak Cik Kiah? Maka tuan puan boleh berfikir sendiri akan nasib Mak Cik Kiah.

Mak Cik Kiah hanya berbekalkan semangat dan usaha entah sampai bila akan dapat bertahan untuk meneruskan kehidupan yang makin mencabar pada masa ini.

Cuma nasib Mak Cik Kiah beruntung disebabkan Bidin sebenarnya anak Mak Cik Kiah rupanya. Begitulah tularnya cerita ini sejak KWSP memperincikan syarat-syarat pengeluaran KWSP.

Cerita yang saya kongsikan di atas berlegar-legar di kumpulan WhatsApp hasil karangan rakyat jelata yang sangat kreatif. Dan ini adalah rungutan yang diuar-uarkan kerana tidak berpuas hati dengan syarat KWSP.

Perincian

Saya ada juga membaca perincian yang diberi KWSP tentang dua kategori ini. Pada mulanya agak keliru juga terutama kategori satu, iaitu ahli yang mengalami kekurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas sejak 1 Mac 2020.

Katanya, kategori ini akan diberi secara automatik dan tiada dokumen yang perlu disertakan. Data mereka dalam kategori ini akan disemak sendiri oleh KWSP.

Dalam kategori kedua ada juga syarat begini tetapi diperincikan untuk mereka yang dikurangkan sebanyak 30 peratus atas keseluruhan pendapatan iaitu gaji pokok, elaun dan kerja lebih masa.

Untuk kategori kedua ini perlukan dokumen tambahan sama ada slip gaji dan surat pengesahan majikan. Maka saya berfikir juga bahawa mungkin semua orang boleh memohon atas kategori satu sahaja tanpa perlu sertakan dokumen.

KWSP akan menyemak kemasukan potongan KWSP iaitu potongan caruman sebanyak 11 peratus pekerja dan 13 peratus majikan. Baru-baru ini pun KWSP ada juga memberi kelonggaran kepada pekerja sama ada hendak kekalkan 11 peratus atau 9 peratus sahaja.

KWSP juga akan melihat data ini sama ada mereka yang memohon itu memang benar gaji pokoknya berkurang sebanyak 30 peratus. Dari situ KWSP sudah boleh menentukan lulus atau tidak.

Maka eloklah rakyat memohon sahaja dalam kategori satu dan tunggu akan maklum balas daripada KWSP lulus atau tidak manakala untuk mereka yang mempunyai dokumen boleh sahaja memohon kategori kedua.

Lebih baik lagi, kalau diberi sahaja syarat am dan mereka boleh keluarkan mengikut keperluan masing-masing. Lagipun bukan duit orang lain, duit mereka sendiri juga. Permohonan pula hendaklah dalam talian. Nanti tidaklah bersesak-sesak di kaunter KWSP. Bukan apa, nanti daripada i-Sinar bertukar menjadi i-positif pula.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!