Menjadi umat berintegriti

No Image Caption
A
A
A

AKHIR-akhir ini, negara Islam mengalami pelbagai krisis dan yang terakhir adalah berita penglibatan Arab Saudi dengan Israel.

Dilaporkan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi telah mengadakan pertemuan sulit dengan pemimpin Israel baru-baru ini.

Sebenarnya dalam berita sebegini, banyak spekulasi dan hal ehwal perhubungan antara negara Islam dengan pihak barat termasuk Israel yang dihubungkan dengan isu permusuhan antara agama dan politik, dan banyak sekali melibatkan emosi dan perasaan yang keterlaluan.

Oleh itu, negara Islam sering menaruh syak wasangka terhadap sesama sendiri, malah kerana perpecahan di antara mereka, maka timbullah pelbagai pentafsiran yang berbeza.

Sebenarnya sejarah yang berlaku dalam kalangan umat Islam yang melibatkan perhubungan sama sendiri dan musuh-musuhnya, malah segala kisah dan pengalaman hidup manusia dulu kala, juga cerita perjuangan rasul dan nabi yang lalu, semuanya ini telah diabadikan dalam kitab suci al-Quran.

Rasulullah SAW walaupun hanya hidup dalam jangka masa yang agak singkat, namun setiap detik dalam sejarah hayatnya, terutamanya sejak dipilih sebagai Rasul oleh ALLAH SWT menjangkau umur baginda 40 tahun, Baginda telah diwahyukan oleh ALLAH dengan segala macam kisah umat dan nabi dan rasul sebelumnya.

Kebijaksanaan dan keistimewaan Nabi Muhammad adalah merupakan kemuncak kejadian makhluk ALLAH yang bernama ‘manusia’ iaitu makhluk yang dipilih oleh ALLAH untuk mewarisi alam semesta ini sebagai khalifah dan pengurusnya.

Kecemerlangan umat Islam sendiri yang pernah mencapai tamadun yang tinggi, akhirnya telah diruntuhkan oleh pencapaian manusia baharu ketika manusia zaman moden ini telah membangun dengan teknologi dan sains komunikasi dalam masa yang amat singkat, sehingga ilmu dan daya cipta, serta kreativiti manusia zaman ini amat tinggi mengatasi segala pencapaian zaman umat sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Inilah makna dan kekuatan manusia kejadian ALLAH yang amat unik dan istimewa ini.

Sebenarnya bidang ilmu Islam merangkumi ruang yang besar dan menyeluruh. Islam mengajar umatnya secara asasi dalam bidang akidah, syariah dan adab atau akhlak.

Ilmu-ilmu ini juga yang membuka rahsia kemampuan umat ini untuk menguasai ilmu sumber alam.

Mengusahakan dunia bukan ertinya meninggalkan akhirat. Mencari harta bukan bererti mengajar manusia melupakan ALLAH, malah seharusnya manusia menjadi umat yang menggunakan kekayaan untuk berbakti kepada ALLAH.

Akhlak lebih besar tanggungannya di atas bahu pemimpin dan ketua dalam kalangan manusia iaitu dengan sifat amanah, jujur, ikhlas, tidak bersifat kebendaan melulu dan sebagainya.

Pemerintah mempunyai kriteria yang amat unik, sehinggakan ALLAH memerintahkan umatnya mentaati ALLAH, rasul dan pemerintahnya.

Kerana itulah pemerintah mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mentaati ALLAH dan berlaku adil kepada semua.

Umat Muhammad haruslah berusaha menjadi umat terbaik, tinggi, adil dan berintegriti seperti yang diamanahkan ALLAH SWT.

Kita telah lama tenggelam dalam ilmu agama yang berkisar di sekitar fardu ain dan ritual, tanpa menyentuh pendidikan holistik, seperti yang diajar oleh al-Quran tentang baju besi, pasukan berkuda, berbudi bahasa, berbicara secara halus dan lembut, menjalani perhubungan sosial secara yang lebih bertamadun dan mengurus hal ehwal dunia yang global dan sejagat, malah menjalankan perniagaan yang saksama, menjaga sukatan dan timbangan, pengurusan kekayaan yang bersih daripada elemen haram dan riba, serta urusan hidup keseluruhannya yang disentuh dalam al-Quran dan sunnah rasul.

Inilah ertinya pentafsiran Islam tentang integriti, dan sistem hidup untuk menjadi umat yang berintegriti.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!