Kesal peniaga daging terjejas angkara pihak tak bertanggungjawab

Mohamad Yusrizal Yusoff
Mohamad Yusrizal Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) kesal tindakan sebilangan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan membungkus semula daging sejuk beku seludup dengan logo halal.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, berdasarkan tinjauan Cake, ada peniaga menerima impak daripada tindakan pihak tertentu yang membungkus semula daging yang diimport tanpa pengesahan halal dengan logo halal palsu.

Mohamad Yusrizal berkata, walaupun pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung kegiatan itu di Kedah setakat ini namun isu itu tetap perlu diberi perhatian serius.

"Kita dapati ada peniaga daging import terjejas disebabkan pengguna berasa ragu-ragu dengan status halal daging import yang dijual dan bimbang untuk membelinya.

"Malah, pihak kami turut difahamkan permintaan terhadap daging import berkenaan masih berkurangan disebabkan orang awam tidak berani dan berasa was-was," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal berkata, Cake mengesa supaya pihak berwajib memberi pendedahan dan maklumat tentang lokasi daging import yang dibungkus semula dengan logo halal palsu dipasarkan.

Beliau berkata, tindakan berkenaan perlu diambil demi memberi pendedahan kepada pengguna, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka untuk mendapatkan daging import.

Artikel Berkaitan:

Che Hassan Che Johan
Che Hassan Che Johan

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, masyarakat baru menyedari taktik pihak tertentu membungkus semula daging sejuk beku dengan logo halal selepas dibongkar beberapa pihak berkuasa.

"Justeru, saya berpendapat daging beku import ini sebenarnya perlu diboikot terlebih dahulu kerana cara memproses daging beku di negara luar ini tidak mempunyai peraturan majlis agama yang disahkan negara kita dan prosedur operasi standard (SOP) yang dipraktikkan menyimpang daripada apa yang sepatutnya mereka ikuti," katanya.

Che Hassan berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya seperti membuat satu garis panduan untuk daging-daging import ini dipasarkan oleh pengimport yang berlesen sahaja.

Sebelum ini, Sinar Harian mendedahkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari beberapa negara sebelum dibungkus semula dengan logo halal dan menjualnya kepada pasaran di seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!