Pemimpin tertinggi PN kena beri kata putus
SHAH ALAM - Pemimpin tertinggi tiga parti Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) wajar melakukan ketetapan akhir bagi memutuskan sama ada masing-masing masih mahu meneruskan kesatuan yang terjalin atau berpecah.
Perkara itu diakui bersama Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO yang senada dalam menentukan hala tuju kesatuan parti masing-masing bersama PN dalam program Dialog UMNO-Bersatu di Astro Awani malam tadi.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemimpin perlu memastikan mesej yang dibawa sampai ke peringkat akar umbi dengan merungkai setiap perbezaan yang wujud antara parti yang bersama.
"Kalau ada perbezaan pandangan, maka peranan kita sebagai pemimpin iaitu merungkai perbezaan tersebut supaya akhirnya ia menjadi satu balik. Itu cabaran bagi kita.
"Saya rasa kita pemimpin kena buat keputusan. Kita nak berpecah ke nak bersatu? Soalannya tak susah pun. Itu sahaja soalannya.
"Kalau nak berpecah, ada akibatnya... kalau nak bersatu, jalannya tidak mudah sebab ada kawan-kawan dalam UMNO yang terluka, ada juga orang Pas yang sampai sekarang pun mempersoalkan bolehkah nak berbaik dengan UMNO sebab selama 60 tahun lebih berbeza pandangan.
"Jadi perbezaan ini sebenarnya wujud di peringkat akar umbi. Peranan pemimpin memastikan mesej sampai ke bawah dalam membentuk ke arah negara yang baik secara keseluruhannya," katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam nada sama bersetuju dengan hujah Wan Saiful agar kepemimpinan setiap parti tidak terus merumitkan keadaan yang akan mengelirukan akar umbi dan rakyat.
Bahkan, beliau terlebih dahulu menyatakan UMNO sudah tidak banyak masa lagi untuk membuat keputusan akhir berhubung pendirian parti itu menjelang PRU15 kelak.
"Mungkin sudah tidak lama lagi, masa sudah tiba... kalau nak masa sedikit pun jangan lama sangat, UMNO kena buat pendirian terakhirnya menjelang PRU15. Jika benar berlaku (PRU15) maka UMNO perlu ada pendirian akhir tentang formula apa yang nak diguna pakai.
"Kalau pilihannya tidak bersama, ceritanya jadi lainlah. Tapi kalau pilihannya untuk bersama dan saya dah gariskan bagi pandangan saya apa syarat-syarat bagi pihak UMNO, kalau perkara itu dipersetujui dan akhirnya bersama, kita buat kerja.
"Saya percaya bagi pihak UMNO kena buat ketetapan, Bersatu dan Pas juga perlu buat ketetapan masing-masing. Insya-ALLAH kita cari sama ada ada atau tidak titik persamaan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!