Roboh kuil ikut undang-undang, bukan isu perkauman: MB Kedah

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Isu perobohan kuil Hindu atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah adalah berlandaskan undang-undang bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya kesal susulan ada pihak berkepentingan cuba mengapi-apikan isu berkenaan.

Menurutnya, tataletak setiap binaan struktur di semua tempat sepatutnya berada pada tempatnya secara sah dan terkawal, menurut undang-undang dan pentadbiran bawah agensi kerajaan.

“Ia harus bermula sejak dulu lagi, bukan sekarang walaupun belum terlambat untuk melakukannya. Kekecohan yang diapi-apikan ini adalah risiko yang terpaksa kita hadapi untuk membina masa depan yang lebih tenteram dan harmoni.

"Jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana 'mabuk todi populariti' dan mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, dipercayai berusia lebih 50 tahun selepas tapak tersebut yang dimiliki kerajaan negeri mahu dibangunkan.

Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.

Sebelum itu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan membantah tindakan berkenaan dan menggesa Muhammad Sanusi menjelaskan pendiriannya berhubung kuil dan tempat ibadat.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Presiden MIC itu menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan Muhammad Sanusi merobohkan kuil berkenaan, memandangkan kerajaan negeri berjanji dalam mesyuarat Julai lepas akan memaklumkan kepada beliau dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique sekiranya ada kuil yang akan dirobohkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Saravanan minta MB Kedah jelaskan pendirian

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan bahawa kuil berkenaan berusia 30 atau 50 tahun.

“Ada beberapa serangan politik terhadap kerajaan negeri berkaitan isu ini yang diputar belit dari sudut fakta, kononnya kuil itu sudah dibina 30 tahun dan ada dakwa 50 tahun, sedangkan pihak berkuasa mempunyai rekod. Struktur itu hanya dibina beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Katanya, pihaknya kesal mengapa MIC dan DAP tidak membangkitkan isu struktur lain yang turut dirobohkan, seperti dapur dan gerai.

"Di Taman Bersatu itu, bukan kuil sahaja dirobohkan, sebuah gelanggang silat dirobohkan bawah akta sama. Di lokasi lain di Alor Setar, ada gerai, parkir kereta, stor, pagar, dapur, bangsal turut dirobohkan.

"Kenapa MIC dan DAP tidak bersuara tentang ini? Ahli politik kanan seperti mereka janganlah minum hanya sebotol, mabuknya dua tiga botol," katanya sinis.

Muhammad Sanusi berkata, sebelum ini terdapat sebuah kuil yang dirobohkan dan telah diberikan tapak gantian.

"Sebelum ini, mereka mengelak untuk akui satu tapak yang lebih besar, luas dan selesa telah diberikan untuk gantikan tapak sebuah kuil yang terbabit dengan pelebaran rel kereta api di Alor Setar.

"Selepas diberi tapak baru, kuil didirikan, mereka kembali dirikan kuil di tapak asal. Notis mengosongkan tapak telah dikeluarkan beberapa kali sebelum tindakan diambil oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS)," katanya tanpa menamakan kuil yang dimaksudkan itu.

Difahamkan, beliau merujuk kepada satu lagi perobohan kuil Sri Madurai Veeran di Jalan Stesen Alor Setar, Kedah pada Julai lalu.

Pada 13 Julai lalu, pemimpin DAP, P Ramasamy mengingatkan Muhammad Sanusi agar tidak memutar belit fakta apabila mengatakan kerajaan negeri menawarkan tapak alternatif bagi tempat sembahyang Hindu yang dirobohkan.

Mengulas isu berkenaan, Muhammad Sanusi berkata, kes itu juga diputar belit untuk membina persepsi bahawa Pas adalah pelampau agama yang mendiskriminasikan agama lain.

"Konon kuil itu berusia lebih 100 tahun, ia dibina beberapa tahun lalu sahaja. Mereka mengapi-apikan sentimen kaum dan agama untuk menjadi jaguh. Jaguh kaum, jaguh agama atau jaguh putar belit?” soalnya.

Menurutnya, sebelum ini kuil di tanah lapang yang dibina secara haram dengan kilang plastik tidak berlesen di zon industri Sungai Petani turut dipertikaikan.

“Kenapa tak robohkan kilang plastik? Satu kes operasi kilang tanpa lesen, satu kes lagi binaan tidak sah di kawasan perumahan. Tujuh buah kilang plastik itu telah akur dipindahkan ke kawasan perindustrian Bukit Selambau dan akan diberikan lesen di tapak baru.

"Prosesnya sedang berjalan bawah kendalian Majlis Perbandaran Sungai Petani. Sesuaikah kedua kes itu dibuat perbandingan? Epal wajar dibandingkan dengan epal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemimpin politik agar bertindak sebagai pendamai, penjaga keharmonian dan bertindak selari dengan undang-undang dan peraturan untuk memelihara dan melindungi kehidupan rakyat, bukan mendiskriminasikan sesiapa.

“Jika ada sesiapa dari kalangan pemimpin politik, kaum dan agama cuba mengapi-apikan permusuhan, menghalang undang-undang ditegakkan, menuduh dan memfitnah di luar kebenaran, memutar belit undang-undang dengan mengheret kepada isu kaum dan agama, mereka tidak patut dibiarkan.

"Perlembagaan parti politik yang diluluskan tidak mengandungi kebenaran kepada kegiatan seumpama itu. Kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Malaysia adalah suara untuk menjunjung kebenaran, keadilan, bukan bersuara tentang kepalsuan, putar belit, fitnah dan adu domba,” katanya.

Katanya, Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) tidak hanya dikuatkuasakan kepada kuil Hindu, tokong atau rumah ibadat, namun berkuatkuasa ke atas semua struktur, binaan dan halangan yang tidak diluluskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!