Sultan Perak terima menghadap tiga pemimpin PH
IPOH - Tiga pengerusi parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) Perak tiba di pekarangan Istana Kinta sebentar tadi untuk menghadap sembah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung kemelut politik di negeri ini.
Mereka adalah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi.
Ketiga-tiga mereka tiba berasingan menaiki kenderaan masing-masing.
Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong tiba lebih awal pada jam 10.40 pagi disusuli Farhash Wafa.
Beberapa minit kemudian kenderaan membawa Asmuni iaitu ADUN Manjoi masuk ke pekarangan istana.
Semalam, Sultan Nazrin turut berkenaan menerima menghadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin terima menghadap MB, Speaker Perak
MB Perak hilang sokongan majoriti
Pertemuan itu berikutan keputusan usul undi percaya yang dibahaskan dalam Persidangan Dewan Negeri Perak semalam.
Usul yang dikemukakan kepada Menteri Besar Perak itu tidak memihak kepada Ahmad Faizal apabila menyaksikan hanya 10 undi menyokong, 48 undi menolak manakala satu undi rosak.
Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5 dan masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!