Kutip telur jumpa ular tedung senduk melingkar
PASIR PUTEH - Rutin harian seorang pemuda mengutip telur ayam kampung peliharaannya 'terbantut' selepas dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung senduk di kawasan reban miliknya di Kampung Kuala Semerak di sini pagi tadi.
Reptilia berbisa sepanjang satu meter itu ditemui bersembunyi di dalam tempat ayam bertelur oleh pemiliknya Khairul Azreen Ismail, 28, pada jam 7.45 pagi ketika mahu memungut telur.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.07 pagi.
"Seramai lima anggota termasuk seorang pegawai telah dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menangkap reptilia itu," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, APM Pasir Puteh mengambil masa selama 10 minit untuk 'menumpaskan' reptilia itu.
Dalam perkembangan lain, Nik Mohd Nor menasihatkan orang ramai supaya sentiasa waspada dan memeriksa kawasan rumah bagi mengelakkan didatangi tetamu yang tidak diundang.
Katanya, orang ramai turut dinasihatkan supaya mengambil langkah awal dengan menutup setiap lubang yang ada di kawasan rumah selain membuat pemeriksaan.
"Pastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih bagi memastikan reptilia ini tidak bersembunyi seterusnya menunggu masa untuk masuk ke dalam rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!