Ibu mohon ubah perintah hak jagaan demi akidah anak
ALOR SETAR - Seorang pekerja kilang membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kedah di sini, semalam, untuk mengubah hak jagaan kekal anaknya dari bekas suami kepada dirinya demi menyelamatkan dua beradik itu.
Peguam Syarie, Syeikh Ahmad Nawawi Ghazali berkata, anak guamnya, Noryati Bakar, 51, selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 24 Januari lepas.
Menurutnya, plaintif membuat permohonan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, yang memberikan hak penjagaan kekal ke atas dua anak mereka pada 30 Jun 2014 atas beberapa alasan.
“Antara sebab plaintif memohon mahkamah mengubah perintah hak jagaan anak perempuan dan lelaki masing-masing berusia 9 dan 14 tahun atas dakwaan memiliki kecenderungan kepada agama lain.
“Malah, kita menerima bukti akuan sumpah dari guru bahawa si bapa mendakwa ada membuat pengakuan memiliki kecenderungan ke arah agama Kristian selepas anak tidak hadir ke sekolah selama sebulan," katanya.
Syeikh Ahmad Nawawi berkata, defendan didakwa tidak bertanggungjawab apabila mengeksploitasi anaknya untuk mengutip sumbangan di rumah ibadat agama lain dan pengabaian anak-anak hingga kerap tidak ke sekolah.
“Plaintif selaku ibu kepada kepada dua adik-beradik itu membuat permohonan terbabit berikutan kebimbangan terhadap anak-anak yang didakwa sering dikunjungi mubaligh Kristian.
“Plaintif membuat permohonan mengubah hak penjagaan terbabit disebabkan berasa risau tentang keadaan dan keselamatan anak-anaknya yang dikhuatiri cenderung kepada agama lain," katanya.
Menurutnya, defendan yang juga orang kelainan upaya (OKU) pada bahagian kaki akibat kemalangan didakwa tidak bekerja.
“Saya yang mewakili plaintif memohon supaya kes ini disegerakan demi kepentingan dan masa depan dua adik beradik itu sama ada hak jagaan diberikan kepada ibunya ataupun kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Noryati berkata, dia membuat permohonan mengubah hak jagaan anak selepas menerima maklumat dari beberapa pihak termasuklah sekolah berhubung tindakan bekas suaminya yang didakwa mempergunakan dua anak mereka.
Menurutnya, dia menerima makluman bekas suaminya menerima tawaran wang dari pihak tertentu untuk perbelanjaan untuk keluar Islam, sekali gus bimbang nasib anak-anaknya.
“Jadi, kak nak selamatkan anak-anak daripada ditarik masuk ke agama lain. Apatah lagi, anak lelakinya yang mengalami masalah pembelajaran didakwa belum berkhatan, selain dipergunakan untuk mengutip sumbangan di rumah ibadat agama lain," katanya.
Difahamkan, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 7 Disember 2003 sebelum sah bercerai pada 26 Januari 2017.
Bagaimanapun, mereka sudah tidak tinggal bersama sejak 2012 dan hak penjagaan kekal diperoleh bapa atas persetujuan bersama pada 2014 berikutan masalah kemiskinan.
Terdahulu, mereka berdua hadir proses sulh yang dikendalikan Pegawai Sulh, Syeikh Faizal Mahayuddin, namun perbincangan berkenaan ditangguhkan berikutan defendan memberikan alasan tiada orang menjaga anak sakit di hospital.
Susulan itu, mahkamah menasihatkan defendan melantik peguam dan sebutan semula kes perintah hak jagaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Syeikh Amiruddin Putra Zainol Abidin ditetapkan pada 4 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!