MB Perak berjiwa besar lepaskan jawatan
PASIR GUDANG - Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disifatkan sebagai berjiwa besar kerana melepaskan jawatan Menteri Besar Perak dengan rela hati selepas gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, sikap tersebut wajar dipuji termasuk keputusan Ahmad Faizal untuk tidak membubarkan DUN Perak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
"Apa yang berlaku dalam politik di Perak adalah sebahagian daripada proses demokrasi, ada perubahan dalam usul percaya dibentangkan dalam Sidang DUN sehingga menjadi usul undi tidak percaya terhadapnya.
"Saya memuji sikap Menteri Besar Perak, beliau ambil sikap positif dengan mengundurkan diri. Saya setuju beliau tidak berhasrat bubar DUN, maknanya PRN tidak berlaku dan beliau ambil tanggungjawab dalam keadaan Covid-19 ketika ini.
"Beliau juga berani apabila usul undi percaya terhadapnya dibentangkan. Menteri Besar Perak itu anggap ia lebih penting daripada urusan biasa kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Sepakat, Masai, di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.
Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Ketika membahaskan usul berkenaan, Abdul Manaf berkata, tujuan usul undi percaya itu adalah bagi menentukan keabsahan (kewibawaan) kepimpinan Ahmad Faizal sebagai menteri besar.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, apa yang dilakukan Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah satu tindakan yang amat bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri.
Menurutnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu perlu berani dan mengambil contoh itu dengan membenarkan usul undi percaya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kedudukannya sendiri sebagai Perdana Menteri di Parlimen.
Sementara itu, Hassan berkata, lebih 1,000 penduduk terjejas akibat banjir kilat yang berlaku pada 21 November lalu melibatkan antaranya Kampung Sepakat, Kampung Baru, Kampung Pertanian, Kampung Masjid dan Desa Bakti.
Jelasnya, punca banjir disebabkan oleh aliran di Sungai Masjid yang tersekat dengan pasir, tanah dan kotoran lain hingga mengakibatkan saluran air sedia ada melimpah, justeru Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mengambil tindakan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!