Rezeki pembuat bubu
MARANG - Seorang mekanik mampu memperoleh pendapatan tambahan mencecah RM7,000 sepanjang musim tengkujuh hasil kemahirannya membuat bubu.
Mohamad Sapawi Yunus, 40, dari Kampung Tok Fakir, Merchang, di sini berkata, dia mampu menjual sebanyak 200 bubu dalam tempoh empat bulan bermula Oktober hingga Januari saban tahun.
Katanya, pendapatannya meningkat pada musim tengkujuh kerana permintaan tinggi terhadap peralatan itu.
"Jika pada musim biasa 10 bubu pun tidak laku dalam sebulan. Saya mula terima banyak tempahan untuk membuat bubu," katanya yang turut memasarkan bubu menerusi media sosial seperti Facebook, WhatsApp serta medium jualan Shopee.
Mohamad Sapawi berkata, dia mula menjual bubu pada tahun 2015 dengan harga RM30.
Bagaimanapun katanya, kebelakangan ini dia terpaksa menaikkan harga kepada RM35 kerana peningkatan harga besi, dawai dan plastik.
Katanya, antara kelainan bubu yang dihasilkan ialah menggunakan jaring plastik supaya lebih kukuh berbanding bubu daripada buluh.
Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, kebanyakan pelanggan yang membeli bubunya berpuas hati malah ada di antara mereka memberitahu berjaya mendapat hasil tangkapan ikan bersaiz besar.
"Ada pelanggan beritahu pernah mendapat 30 kilogram ikan baung yang ditangkap menggunakan bubu ini.
"Saya bersyukur kerana ramai pelanggan berpuas hati malah ada yang menambah belian," katanya yang boleh menghasilkan 10 bubu setiap hari.
Mohamad Sapawi berkata, dia juga boleh menguruskan penghantaran melalui pos kepada pelanggan yang berada di luar Terengganu termasuk Sabah dan Sarawak walaupun pernah berdepan dengan situasi bubu yang dipos rosak.
Bubu merupakan alatan tradisional menangkap ikan yang kebiasaannya diperbuat dari buluh bagi menangkap ikan di kawasan sungai, tasik dan kawasan paya.
Alatan ini dihasilkan khusus untuk menangkap spesis ikan 'darat' seperti keli, sepat, puyu, belut dan haruan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!