Nafi kemelut Perak menular ke Sabah: Bung Moktar
KOTA KINABALU - UMNO Sabah menafikan kemelut politik yang berlaku di Perak akan menular ke Sabah seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin percaya, sentimen politik di Perak hanya berlaku di negeri itu dan Sabah mempunyai sentimennya tersendiri.
"Apa yang berlaku di Perak itu hanya sentimen di Perak, kita di Sabah punya sentimen kita utamakan kepentingan rakyat.
"Apa yang penting dan kita harapkan pemimpin di Sabah ini memahami antara satu sama lain, bermakna kita mesti bersama-sama tidak boleh berpecah-belah, kalau kita berpecah itulah akibatnya serta merugikan," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat UMNO Sabah di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemelut di Perak semalam sehingga tumbangnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang didakwa akan menular ke beberapa negeri termasuk Sabah.
Beliau dalam pada itu memberi jaminan bahawa kemelut itu tidak akan berlaku di negeri ini dan ketahanan kerjasama UMNO bersama rakan gabungan teguh.
"Jaminan itu sentiasa ada di situ sebab ia bergantung kepada keikhlasan kita, UMNO ini memang ikhlas kita tidak akan mengkhianati rakan kita dan kita juga minta rakan kita jangan khianati kita.
"Siapa-siapa pun adalah rakan kita sebab konsep bersama-sama ini bermakna keputusan yang diambil mesti bersama-sama, itu yang kita mintalah agar dapat dilakukan.
"Tidak menjejaskan (kemelut di Perak), Insya-ALLAH ketahanan kita masih teguh," tegasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Akui terasa hati, tapi harap PN Perak tak pecah'
Saya terima dengan reda: MB Perak
MB Perak harap krisis tak berlarutan ke Pusat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!