Lebih 160,000 ibu tunggal layak terima bantuan 'one-off' RM300

Rina (kiri) menyantuni sebahagian daripada ibu tunggal yang hadir pada Program Kembara Prihatin Negara (KPN)-Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) di PLPP Bangi hari ini. Foto Bernama
Rina (kiri) menyantuni sebahagian daripada ibu tunggal yang hadir pada Program Kembara Prihatin Negara (KPN)-Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) di PLPP Bangi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima hampir 200,000 permohonan untuk Bantuan Khas Ibu Tunggal dan daripada jumlah itu seramai 161,909 permohonan layak untuk menerima bantuan tersebut, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana), KPWKM menerima peruntukan RM45 juta untuk membantu 150,000 ibu tunggal yang layak dengan bantuan 'one-off' RM300, namun pihaknya mengambil keputusan untuk membantu kesemua 161,909 ibu tunggal yang layak.

“Kementerian mengambil keputusan untuk memberi kepada semua yang layak walaupun peruntukan hanya untuk 150,000 orang, tetapi kami gunakan peruntukan dalaman untuk diberikan kepada tambahan 11,909 ibu tunggal kerana kami nak membantu seramai mungkin mereka yang layak dan terjejas.

“Proses pembayaran sedang dibuat sekarang dan semua penerima bantuan akan terima selewat-lewatnya pada 31 Disember ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Kembara Prihatin Negara - Bantuan Khas Ibu Tunggal di sini hari ini.

Rina berkata, setakat Khamis lepas, seramai 60,000 pemohon telah menerima Bantuan Khas Ibu Tunggal.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPWKM mendapat peruntukan RM21 juta di bawah Belanjawan 2021 untuk membina Pusat Sokongan Sosial Setempat yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti kepada golongan wanita.

“Di bawah Pusat Sokongan Sosial Setempat ini, ia akan dilengkapi dengan pelbagai agensi dan ia juga akan menjadi tempat perlindungan untuk wanita yang terjejas,” katanya sambil menambah pusat itu akan mula dibina di Selangor dan Johor.

Sementara itu, dalam program hari ini, seramai 45 ibu tunggal dari kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat, Dengkil dan Sungai Pelek menerima Bantuan Khas Ibu Tunggal dan bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!