Mekanisme bidaan Equanimity dinilai semula

Equanimity
Equanimity
A
A
A

GURUN - Kerajaan tidak menolak kemungkinan menilai semula harga yang ditetapkan untuk menjual kapal mewah Equanimity susulan semua tawaran bidaan tidak menepati taksiran.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, harga bidaan yang lebih rendah berbanding penilaian tidak sepatutnya berlaku memandangkan kapal mewah didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, dianggar bernilai RM1 bilion.

Menurutnya, memandangkan tawaran bidaan di bawah nilai berbanding kadar ditetapkan badan penilai profesional, kerajaan wajar mencari mekanisme terbaik bagi mendapatkan semula sekurang-kurangnya pada kadar tiga suku daripada harga pembelian asal.

“Dalam situasi ini, kita perlu nilai dan bincang semula mekanisme terbaik untuk dapatkan semula wang hasil daripada pembelian Equanimity. Sudah tentu kita mahukan nilai terbaik dan semaksimum yang boleh,” katanya selepas melawat kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, hari ini.

Amiruddin berkata, kemungkinan pembida juga mahukan nilai terbaik dan menunggu harga penilaian dikurangkan sedikit susulan persaingan agak rendah.

“Tujuan kita, mahu semua aset dibeli atas wang 1MDB yang diselewengkan itu diambil semula kerana ia melibatkan duit negara. Proses bidaan kaedah terbaik dan kita juga sudah tetapkan harga sepatutnya.

“Kita bukan bercakap mengenai rumah yang menjadi keperluan, ini adalah kapal layar super mewah dan hanya ada kelompok pembeli yang terlalu sedikit. Dalam keadaan ekonomi kurang memberangsangkan, mungkin tak ramai mahu beli aset mewah seperti ini,” katanya.

Menurutnya, bidaan dibuka kepada mana-mana pembeli dari seluruh negara dan akan dijual pada nilai tidak kurang daripada RM543 juta.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Burgess, Jonathan Beckett mendedahkan semua tawaran bidaan dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi (Bahagian Admiralti) bagi membeli Equanimity tidak menepati taksiran badan penilai profesional.

Beckett berkata, fasa pertama lelongan menerusi proses bidaan lancar dengan pelbagai pihak tampil meninjau kapal layar 92 meter itu, namun semua tawaran bidaan yang diterima mahkamah selepas tempoh lelongan tamat 28 November lalu berada bawah nilai.

Beckett yang ditemu bual majalah penerbitan kapal layar, Barche menjangkakan kapal layar mewah seperti itu dijangka mengambil masa 12 hingga 24 bulan untuk dijual.

Pada 13 Disember lalu, peguam yang mewakili kerajaan, S Sitpah selepas pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (Admiralti) Datuk Khadijah Idris memaklumkan Equanimity akan dijual pada nilai tidak kurang daripada RM543 juta, iaitu separuh daripada harga asalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!