Krisis Perak: PN, BN Pulau Pinang tidak terjejas

Shabudin Yahaya
Shabudin Yahaya
A
A
A

GEORGETOWN - Pergolakan politik yang berlaku di Perak ketika ini tidak menjejaskan hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kesemua parti komponen PN masih mendukung dasar dan polisi kerajaan yang sama.

"Hubungan antara PN dan BN di Pulau Pinang seperti biasa cuma sekarang ini, mungkin ada sikit tersentak hati dengan apa yang berlaku (di Perak).

"Namun, secara asas dan dasarnya, PN dan BN masih dalam satu kerajaan. Kita masih mendukung polisi pentadbiran negara yang sama," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada peniaga Bumiputera Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah di Bangunan Persekutuan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut menyatakan keyakinan bahawa pergolakan politik di Perak akan kembali seperti biasa dan tenang dalam tempoh terdekat.

"Saya tidak melihat berlakunya pertelagahan antara PN dan BN ekoran apa yang berlaku di Perak dan masing-masing masih menghayati landasan kerjasama yang ada serta mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi.

"Saya juga yakin apa yang berlaku akan dapat diselesaikan apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membuat keputusan nanti dan keadaan akan kembali normal. InsyaALLAH krisis ini akan kembali tenang dalam tempoh seminggu dua lagi," katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal mendapat undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shabudin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, Bersatu di Pulau Pinang belum membincangkan isu pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

"Mengenai pengagihan kerusi antara parti di dalam PN (di negeri ini) pada PRU15 nanti, perkara itu sebenarnya masih belum dibincangkan di peringkat kerjasama antara parti. Soal pengagihan kerusi juga masih terlalu awal untuk dibangkitkan selain berkemungkinan boleh menimbulkan rasa kurang selesa antara parti di dalam PN.

"Buat masa ini, setiap parti politik PN mempunyai perancangan dan hala tuju sendiri dan apabila tiba masanya kita akan bawa perbincangan mengenai kedudukan kerusi ini dalam mesyuarat bersama pucuk pimpinan parti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!