'Jangan kompromi isu seludup daging sejuk beku tidak halal'

MOHD AZMI
MOHD AZMI
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penasihat Pengguna Negara menggesa pihak berkuasa agar tidak berkompromi dalam isu penyeludupan daging beku dari luar yang tidak halal tetapi dibungkus semula dengan logo halal untuk dijual ke pasaran Malaysia.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa juga perlu tegas dan tidak membenarkan sempadan Malaysia bocor dengan kemasukan bahan import tidak halal.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, prihatin dengan apa yang berlaku pihaknya ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan iaitu pihak berkuasa perlu menyiasat kes kemasukan barangan yang dipalsu dokumen halal ke pasaran tempatan.

Katanya, penelitian dan semakan semula juga harus dilakukan ke atas prosedur kemasukan barangan halal ke pasaran tempatan.

"Selain itu, semua rantai bekalan makanan dari luar ke dalam negara perlu diperiksa untuk mengenal pasti kesahihan halal barangan tersebut.

"Pihak berkuasa juga perlu mengenal pasti pengimport makanan halal dari luar dan memastikan tidak berlaku pelanggaran peraturan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum ia dibungkus semula dengan logo halal dan dijual ke pasaran Malaysia terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor pada Selasa lalu.

Turut disita dalam serbuan itu sebanyak 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi turut mengarahkan semua cawangan di bawah kementeriannya di seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan bersepadu dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) terhadap produk daging sejuk beku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!