Banjir: Penduduk di Rantau Panjang sedia pindah
RANTAU PANJANG - Trend air Sungai Golok yang semakin naik dan sudah melepasi paras bahaya iaitu 9.57 meter setakat jam 3 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sini mula ditenggelami banjir.
Tinjauan Sinar Harian mendapati Kampung Kubang Chenok, Pekan Lama Rantau Panjang, Jalan Sekolah Cina, Tersang, Lancang, Tok Deh dan beberapa lagi kampung yang terletak di sepanjang Sungai Golok sudah ditenggelami banjir susulan limpahan air sungai sejak awal pagi tadi.
Menurut laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my, dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) sudah mula dibuka di Rantau Panjang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan Kubang Kual membabitkan 51 mangsa.
Difahamkan, jika hujan turun dengan lebat dan tanpa henti pada malam ini berkemungkinan besar lebih ramai akan berpindah ke PPS.
Walaupun cuaca ketika ini 'tenang' namun penduduk Rantau Panjang tetap gusar untuk berdepan sebarang kemungkinan sepanjang musim tengkujuh.
Seorang penduduk, Alani Isa, 33, dari Pekan Lama Rantau Panjang berkata, beliau sudah mula membuat persiapan menghadapi banjir selepas air mula masuk ke bahagian dapur rumahnya sejak awal pagi tadi.
Menurutnya, air mula masuk ke bahagian dapur pada jam 1 pagi tadi.
"Trend air semakin naik, saya dan suami sudah bersiap sedia untuk berpindah jika keadaan menjadi lebih buruk," katanya.
Selain itu, turut menerima kesan limpahan air Sungai Golok itu ialah Kampung Chenerai, Siram, Kubang Pak Itam dan Pohon Tanjung di Meranti, Pasir Mas.
ARTIKEL BERKAITAN:Air Sungai Golok melimpah ke pekan Rantau Panjang