Isu gangguan ketukan pintu selesai: Polis

No Image Caption
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis menasihatkan orang ramai tidak memperbesarkan isu gangguan bunyi misteri ketukan pintu tanpa salam di beberapa kampung dan taman perumahan di daerah ini yang tular sejak 18 November lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sehingga kini, pihaknya hanya menerima satu laporan polis mengenai gangguan berkenaan.

“Isu gangguan bunyi ketukan sudah selesai, malah polis hanya menerima satu laporan sejak kes ini tular,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Bagaimanapun, Agus Salim berkata, polis sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan seperti biasa.

Malah, katanya, persatuan penduduk diharap dapat menggerakkan rondaan terutama pada waktu malam.

“Kami menggalakkan persatuan penduduk seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menjalankan rondaan di kawasan kampung dan taman perumahan masing-masing.

“SRS dan KRT memainkan peranan penting dalam membantu polis mencegah jenayah dalam komuniti.

“Saya berharap mereka dapat membantu pihak kami dalam memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di kawasan masing-masing terus terpelihara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, gangguan ketukan pintu tanpa salam yang mengganggu penduduk di Taman Air Manis di sini tidak lagi menghantui penduduk sejak seminggu lalu.

Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, penduduk tidak lagi diselubungi misteri ketukan itu selepas pihaknya mengambil beberapa pendekatan kerohanian seperti menunaikan solat hajat dan bacaan Yassin bagi mengurangkan kegelisahan dihadapi penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi gangguan ketukan pintu misteri

Dua hari 'senyap', ketukan misteri kembali hantui penduduk

Misteri ketukan pintu terus hantui penduduk Sabak Bernam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!