Ahmad Faizal umum letak jawatan MB Perak
IPOH - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak hari ini selepas hilang majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pada sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini, Ahmad Faizal turut mengumumkan peralihan kuasa kerajaan negeri dan kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak gugur secara automatik.
Menurutnya, warkah peletakan jawatan berkenaan telah dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pada jam 3 petang hari ini.
"Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Paduka Seri Sultan dan di kesempatan berkenaan saya telah menyembahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan," katanya.
Dalam nada sebak, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menyampaikan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, seluruh warga pentadbiran dan jabatan serta agensi kerajaan Persekutuan di negeri ini.
ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti
MB Perak harap krisis tak berlarutan ke Pusat
Saya terima dengan reda: MB Perak
[EKSKLUSIF] ADUN UMNO antara 10 wakil rakyat sokong Peja?
Katanya, pengalaman sebagai menteri besar adalah sesuatu yang amat bermakna dan penuh dengan pelbagai cabaran.
"Saya telah cuba melakukan yang terbaik, namun sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, sudah tentulah ada berlaku salah dan silap.
"Bagi pihak seluruh pentadbiran kerajaan negeri yang saya pimpin, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan ataupun setiap satu perkara yang tidak disenangi.
"Perjalanan ini masih jauh dan panjang, jika terselisih bahu, tersinggung siku, tegur-tegurlah mantan Menteri Besar anda ini kerana tentunya saya menganggap setiap seorang dari anda sebagai saudara saya di dunia dan akhirat," katanya.
Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang gagal mendapat sokongan majoriti usul undi percaya dalam Persidangan Dewan Negeri Perak, semalam apabila hanya mendapat sokongan 10 undi, 48 undi menolak manakala satu undi rosak.
Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN) 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5 dan masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!