SOP pelancongan, arahan bekerja dari rumah diteliti semula

Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan PKPP dan PKPB di Kementerian Pertahanan (MinDef), hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan PKPP dan PKPB di Kementerian Pertahanan (MinDef), hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosedur operasi standard (SOP) sektor pelancongan dan arahan bekerja dari rumah akan diteliti semula susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang ditamatkan Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, perkara itu akan diteliti kerana kerajaan juga telah bersetuju membenarkan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kelulusan polis mulai tarikh sama.

Menurutnya, bagi sektor pelancongan yang melibatkan kombinasi antara aktiviti ekonomi dan sosial, perbincangan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti aktiviti yang dibenarkan.

"Walaupun rentas negeri dibenarkan namun terdapat beberapa kawasan masih dalam PKPB, termasuk kawasan pelancongan dan aktiviti sosial tidak dibenarkan bagi kawasan PKPB.

"Sebagai contoh, Zoo Negara mungkin boleh dibuka kerana ia kawasan terbuka tapi sebab masih dalam kawasan PKPB, aktiviti sosial tidak dibenarkan. MKN (Majlis Keselamatan Negara) akan bincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk senarai positif (dibenarkan) dan negatif (dilarang)," katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan di sini.

Berhubung isu bekrja dari rumah, Ismail berkata, MKN akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Utama serta ketua pengarah perkhidmatan awam untuk meneliti keperluan meneruskan arahan itu.

Mengenai pemakaian pelindung muka di tempat awam, beliau berkata kebenaran pemakaian alatan itu sebelum ini hanya kepada pelajar di sekolah untuk mengurangkan beban ibu bapa.

Bagaimanapun, perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada orang ramai boleh memakai pelindung muka tanpa pelitup muka di tempat awam.

Artikel Berkaitan:

"(Isu) Pemakai pelindung muka akan dibangkit dan dimuktamadkan selepas mendapatkan nasihat KKM.

"Kita khuatir jika orang hanya pakai pelindung muka tanpa pakai pelitup muka, (mereka) mungkin dikenakan tindakan kerana pakai pelitup muka adalah wajib," katanya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!