'Seronok tamat PKPD macam nak sambut raya'
IPOH - Penduduk Taman Meru 2C yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 10 Disember berasa gembira apabila perintah itu ditamatkan lebih awal hari ini.
Suri rumah, Ikabewirawati Zuhurdi, 34 berkata, perasaan gembira itu bagai hendak sambut hari raya selepas lebih dua minggu berkurung dalam rumah.
"Setiap kali adanya sidang akhbar oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kami akan berada di hadapan televisyen.
"Apabila semalam diumumkan taman kami tamat PKPD, seronok dia kalah nak sambut raya. Dapatlah kami menjalani urusan harian seperti biasa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Menurutnya, pengalaman menjalani PKPD menjadi sebahagian sejarah dalam hidup mereka terutama penduduk Zon B dan Zon C.
Sementara itu, Pengerusi Surau Taman Meru 2C, Mohamad Najib Mat Lazim berkata, dalam meraikan kesyukuran berjaya mengharungi tempoh PKPD itu, mereka turut sedih akan kehilangan dua jemaah surau yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.
"Kedua-dua jemaah meninggal dunia pada 28 November lalu dan awal pagi tadi. Berita ini amat mengejutkan jawatankuasa surau berikutan mereka antara jemaah yang sentiasa mengimarahkan surau.
"Perkara ini menjadi peringatan kepada semua individu untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka dan sebagainya," katanya.
Terdahulu, acara Paluan Berundur diadakan di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Meru 2C bagi menghargai pasukan barisan hadapan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang komited menjayakan PKPD di taman tersebut.
Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, pendidikan kesedaran pandemik Covid-19 wajar diteruskan agar masyarakat terus cakna mematuhi peraturan.
"Kita mintak PDRM dan Pejabat Kesihatan dapat bantu memberi pendidikan berterusan agar tiada lagi PKPD dilakukan di kawasan sama atau lain-lain.
"Pasukan barisan hadapan banyak membantu menggalas amanah dengan sebaiknya, namun masyarakat diminta terus beri kerjasama dengan patuhi SOP," katanya.
Katanya, tumpuan kini terarah kepada PKPD Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah yang melibatkan lebih 6,000 penduduk bermula 1 Disember lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di beberapa negeri ditamatkan, elak impak ekonomi
'Macam dalam zon perang'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!