Konstabel ditahan positif dadah
JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat konstabel di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi ditahan kira-kira jam 11 malam Khamis lalu selepas didapati positif dadah.
Bagaimanapun anggota berkenaan tidak terlibat kes pengedaran dadah dalam lokap namun menggunakan bahan terlarang itu untuk kegunaan sendiri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ujian air kencing dilakukan terhadap 298 anggota di IPD itu susulan penahanan sembilan anggota polis yang terlibat kegiatan pengedaran dadah dalam lokap di IPD Kota Tinggi baru-baru ini.
"Anggota berkenaan berusia 27 tahun didapati positif dadah methampethamine," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Batu Pahat dan Pengerusi Perkep IPD Seri Alam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan polis ditahan edar dadah dalam lokap
Khamis lalu, sembilan anggota polis dari IPD Kota Tinggi ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah untuk tahanan dalam lokap.
Tangkapan itu melibatkan lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 36 tahun berpangkat Koperal hingga Konstabel yang bertugas sebagai pengawal lokap.
Sebuah sel di IPD berkenaan dijadikan 'port' untuk menjalankan aktiviti menghisap dadah oleh tahanan reman di situ selepas mendapat 'kerjasama' polis terbabit.
Ayob Khan berkata, setakat ini seramai 10 anggota IPD Kota Tinggi ditahan positif dadah termasuk tangkapan terbaru di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
Beliau menegaskan, pihaknya memandang serius masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis kerana melibatkan Integriti mereka.
"Apabila anggota terlibat dadah banyak masalah akan berlaku yang mengganggu tugas mereka. Jika disahkan positif, mereka berdepan kemungkinan dibuang kerja, tidak perlu lagi disiasat kerana hanya membuang masa," katanya.
Beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan perbuatan mereka tidak akan dilindungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!