DUN Johor lulus Belanjawan Negeri 2021

Hasni
Hasni
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad pada 26 November lalu.

Perkembangan itu sekali gus mengetepikan spekulasi berhubung sidang DUN hari ini yang dikatakan 'panas' berikutan krisis politik yang berlaku di Perak memandangkan perbezaan tipis antara kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional ( PN) memiliki 29 kerusi manakala pembangkang Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Pada 26 November lalu, Hasni mengumumkan belanjawan yang bertemakan ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ dengan menggariskan 12 Agenda Utama Belanjawan Johor 2021.

Pembentangan Belanjawan Johor 2021 merupakan belanjawan defisit berjumlah RM248.14 juta berikutan unjuran hasil negeri adalah berjumlah RM1,609.07 juta manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1,857.21 juta.

Belanjawan tersebut merupakan belanjawan pertama dikemukakan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH) pada 28 Febuari lalu.

Terdahulu, Hasni sewaktu penggulungan ucapan belanjawan itu berkata, Belanjawan Johor 2021 dirangka khusus bagi membantu seluruh rakyat Johor terutamanya dalam mendepani dan menangani penularan pandemik Covid-19.

"Saya akui proses melaksanakan semua titik fokus dalam Belanjawan Johor 2021 bukanlah suatu yang mudah. Pelaksanaan pelbagai inisiatif dijangka semakin mencabar rentetan daripada ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi negara dan global khususnya dalam bidang kesihatan, ekonomi dan pelancongan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor bentang belanjawan defisit RM248.14 juta

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!