Pemimpin PH rakan strategik PN Johor

HASNI
HASNI
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kesemua 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap sebagai rakan strategik Perikatan Nasional (PN) yang kini menerajui kerajaan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, beliau sentiasa terbuka menerima pandangan daripada semua pihak termasuk pemimpin PH.

"Kita menganggap pemimpin PH bukan ‘orang asing’ dalam kerajaan negeri Johor sebaliknya mereka ‘rakan strategik’ dalam memaju dan memakmurkan negeri Johor.

"Sebagai ‘rakan strategik’, kita amat menghargai pandangan walaupun mungkin wujud perbezaan daripada segi pemikiran dan ideologi," katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Hasni menambah, kerajaan negeri beriltizam mahu menjadikan Johor terus maju bertunjangkan idea dan pemikiran daripada tokoh-tokoh pemimpin Johor.

"Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS) akan diberi jenama baharu iaitu Institut Dato’ Onn (IDO) tidak lama lagi.

"Ia bertujuan memperkasa dan melaksanakan Program Hikmah Johor, bagi mengiktiraf sumbangan bekas pemimpin dari Johor," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!