Covid-19: 1,335 kes positif, dua kematian
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini kekal empat digit iaitu 1,335 kes menjadikan jumlah kumulatif kes positif dalam negara sebanyak 72,694, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ia menjadikan bilangan kes aktif kebolehjangkitan mencatat 11,039 kes, manakala jumlah kes pulih hari ini adalah 1,069 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 61,273.
Menurut Dr Noor Hisham, daripada 1,335 kes baharu hari ini sebanyak 1,332 kes adalah kes penularan dalam negara manakala bakinya kes import.
“Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 515 kes (38.6 peratus). Daripada jumlah itu, Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 337 kes (65.4 peratus) diikuti oleh Negeri Sembilan sebanyak 258 kes (19.3 peratus) dan Sabah 250 kes (18.7 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, 243 kes (18.2 peratus) dilaporkan hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Tembok (92 kes), Kluster PTS Sibuga (tujuh kes), Kluster Bakti (dua kes) dan Kluster Rumah Merah (satu kes).
Sementara itu, katanya, terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 382 kes (0.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Sehingga kini, terdapat 126 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. - Bernama
Status Terkini #COVID19, 6 Dis 2020
— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) December 6, 2020
Kes sembuh=1,069
Jumlah kes sembuh=61,273 kes
Kes baharu positif=1,335 kes
(termasuk import 3)
Jumlah positif=72,694 kes
Kes kematian=2
Jumlah kes kematian=382 kes
Kes dirawat di ICU=126 kes
Bantuan Alat Pernafasan=57 kes pic.twitter.com/tzOc7bnq5o
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!