Biar rakyat nilai percaturan UMNO di Perak: Razali

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menyerahkan kepada rakyat khususnya Melayu Islam untuk menilai sendiri percaturan politik UMNO di Perak.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, belum pernah dalam sejarah apabila pihak yang mengusulkan undi percaya kemudiannya bertindak bertentangan dengan usul yang dibuat.

Menurutnya, ini jelas menggambarkan kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Sekarang Presiden UMNO, (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) seperti mahu mengugut untuk bekerjasama dengan DAP selepas UMNO dan PH berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional di Perak.

"Sokongan sementara ini diambil kira seolah-olah UMNO terlupa pembangkang sedang berusaha melemahkan perikatan sedang terbina dan terbukti berjaya, maka kini bersoraklah pembangkang.

"Kini kita juga keliru dan bercelaru, siapa kawan dan siapa lawan serta siapa yang munafik, yang mana agenda nasional dan yang mana pula agenda peribadi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, katanya, belanjawan negeri juga belum sempat diluluskan sekali gus memperlihatkan UMNO seperti tidak mengambil kira nasib rakyat Perak yang sedang berdepan wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang DUN Perak tidak dapat diteruskan tanpa MB, 4 Exco

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan parti itu bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk PH untuk membentuk kerajaan negeri di Perak.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa dibuat susulan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini.

“Tetapi ia akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang terbentuk lebih kukuh dukungannya,” katanya di luar Istana Kinta selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Razali menyifatkan kenyataan tegas Setiausaha Agung Pas dan Bersatu sebelum ini adalah wajar kerana percaturan politik oleh UMNO di Perak belum pernah berlaku sebelum ini.

Menurutnya, sebelum ini Bersatu bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO dan Pas kerana serik dengan sikap DAP malah Pas juga pernah mengambil keputusan menolak DAP sebelum ini.

"UMNO pula tidak pernah bekerjasama dengan DAP, mungkin mereka mahu terjemahkan jajaran politik baharu maka 'berilah' peluang kepada UMNO bentuk kerajaan Perak bersama DAP dan PH," sindir Razali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!