PH buat keputusan kerjasama sebelum menghadap Sultan Perak

Asmuni
Asmuni
A
A
A

IPOH - Keputusan Pakatan Harapan (PH) Perak untuk sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO dibuat sebelum ketiga-tiga ketua parti memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini, semalam.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, cadangan untuk bekerjasama itu dibuat dengan syarat UMNO dapat menerima PH secara kumpulan dan bukan hanya parti-parti tertentu.

Menurutnya, pembentukan kerajaan bersama itu dilihat sebagai jalan penyelesaian untuk mengatasi kemelut politik yang melanda negeri Perak ketika ini sekali gus dapat membentuk sebuah kerajaan lebih stabil dan kuat sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kita tidak mahu sebuah kerajaan yang majoritinya cukup-cukup sahaja, tipis dan kerajaan itu adalah kerajaan rapuh. Kalau ini berlaku, sudah tentu akan mendatangkan masalah kepada rakyat yang mahu melihat sebuah kerajaan yang benar-benar dapat memberi kebajikan kepada mereka.

"Sebab itu, walaupun kita tahu bahawa sejarahnya PH ini tidak pernah baik dengan UMNO, tetapi demi kepentingan rakyat ditambah dengan masalah penularan Covid-19, maka kita ketepikan ego politik masing-masing untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan membela kepentingan rakyat. Itu sebenarnya tujuan kita untuk bekerjasama dengan semua pihak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Meru Heights, di sini hari ini.

Asmuni berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu sedia bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan di Perak.

Menurutnya, Amanah Perak melihat kerjasama yang dibuat hanya melibatkan parti-parti tertentu di dalam PH tidak akan menjadikan sesebuah kerajaan itu kukuh dan kuat sebaliknya kembali sebagai kerajaan rapuh seperti mana sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, jika kerajaan baharu yang ditubuhkan itu masih rapuh, dibimbangi rakyat akan benci ahli politik sekali gus memberikan persepsi negatif kepada parti-parti politik ini.

Artikel Berkaitan:

"Katakanlah UMNO ada 25 ADUN, kemudian DAP yang ada 16 ADUN dikeluarkan daripada gabungan PH untuk kerajaan Perak, yang tinggal hanya Amanah dan PKR dengan jumlah keseluruhan 33. Ini sangat rapu. Lebih kurang kerajaan lama juga.

"Kalau ada ADUN-ADUN merajuk, maka kerajaan itu tidak kekal lama dan akan runtuh balik. Jadi apa pandangan rakyat pada masa itu? Kita nak elakkan pandangan dan persepsi negatif rakyat kepada ahli politik," katanya.

Ditanya sama ada PH akan menamakan calon Menteri Besar Perak dalam kalangan parti itu, Asmuni berkata, mereka belum sampai ke tahap tersebut kerana fokus kini tertumpu kepada pembentukan kerajaan terlebih dahulu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan itu namun segala keputusan mengenai lantikan itu terserah kepada kebijaksanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk memilih.

Sementara itu, Asmuni turut yakin kemelut politik dalam pembentukan kerajaan tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak perlu diadakan untuk membentangkan Bajet Negeri Perak 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang DUN Perak tidak dapat diteruskan tanpa MB, 4 Exco

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!