Terapkan modul Rukun Negara dalam institusi pendidikan
BUTTERWORTH - Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan disaran agar memperkenalkan modul berkenaan prinsip Rukun Negara bermula peringkat rendah seterusnya menengah sehingga pengajian tinggi awam serta swasta.
Ia sekaligus mendidik anak-anak supaya bukan sekadar membaca tentang Rukun Negara malahan cakna dan faham tentang prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya.
Timbalan Pengerusi Teras Melayu Pulau Pinang, Abdullah Mohamed Noor berkata, prinsip Rukun Negara bukan sekadar dicatat dan terpampang pada buku latihan sekolah semata-mata, namun ia perlu difahami akan isi kandungannya.
"Perlu faham prinsip Rukun Negara ini, ia bukan sekadar dibaca namun perlu difahami agar jati dan semangat cintakan negara itu kekal subur di jiwa.
"Penerapan silibus Rukun Negara perlu dimulakan sejak sekolah rendah, bertepatan dengan pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, jadi ia perlu diterapkan kepada anak-anak sewaktu mereka di bangku sekolah rendah lagi," katanya.
Katanya, dalam masa sama, dengan adanya silibus ini di setiap peringkat ia akan mewarnakan rasa bertuah anak-anak di bumi Malaysia ini.
"Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, namun kita hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni.
"Kedamaian inilah yang perlu kita pelihara dan sentiasa semaikan semangat cintakan negara agar jiwa merdeka itu sentiasa berada dalam jiwa generasi muda masa kini," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan segelintir individu yang bertindak mengeluarkan kata-kata kurang sopan sewaktu pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, katanya perkara ini tidak patut dan tidak sama sekali perlu berlaku.
"Pada pandangan saya, mereka atau individu yang bertindak sebegini, jiwanya kosong dan langsung tidak ada rasa cinta kepada tanah air.
"Jika mereka sayangkan negara, pastinya mereka patuh dengan prinsip-prinsip perlembagaan yang ada, dan oleh itu seharusnya kerajaan memperkuatkan elemen Rukun Negara dalam setiap genap masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!