Gegaran kuat projek LRT3 resahkan penduduk
PETALING JAYA - Gegaran yang kuat berikutan kerja-kerja menanam cerucuk di tapak pembinaan projek Aliran Transit Ringan 3 (LRT 3) berhampiran Damansara Legenda menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk di sini.
Berikutan masalah itu, dianggarkan kira-kira 16 rumah penduduk di sini mengalami keretakan selain menghadapi beberapa permasalahan lain.
Presiden Persatuan Pemilik dan Penduduk Damansara Legenda (PPPDL), Rick Low berkata, penduduk di kawasan itu sememangnya tidak menghalang sebarang bentuk pembangunan demi manfaat seluruh masyarakat di sini, namun pelaksanaannya perlu mengikut garis panduan (SOP) dan peraturan ditetapkan.
“Kami boleh bertahan dengan bunyi bising dari tapak pembinaan berkenaan, namun tahap gegaran yang dihasilkan menerusi kerja menanam cerucuk di sini menyebabkan penduduk bimbang dengan keselamatan mereka,” katanya ketika sidang akhbar yang berlangsung di Eve Suite, Ara Damansara semalam.
Mengulas lanjut, Low berkata, Jumaat lalu, getaran yang dihasilkan dari tapak pembinaan berkenaan begitu kuat sehingga melebihi tahap bacaan yang dibenarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, pihaknya yakin pemaju terlibat tidak mengikut SOP ditetapkan JAS berdasarkan laporan kajian pihak konsultan yang dilantik persatuan penduduk sebelum ini.
“Bacaan yang ditunjukkan menerusi alat yang diletakkan oleh konsultan kami menunjukkan yang getaran itu melebihi tahap ditetapkan oleh JAS dan kami berharap tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Katanya, pihaknya turut menggesa agar JAS mengadakan pertemuan dengan penduduk bagi membolehkan isu tersebut dapat diatasi segera.
“Sebelum ini, kami telah laporkan beberapa aduan bersama laporan tahap bacaan getaran ini kepada semua pihak berkaitan, namun tiada hasil positif.
“Projek ini akan berjalan sehingga Mac depan dan kami gesa agar JAS dapat turun bertemu penduduk segera dan berbincang tentang masalah ini memandangkan banyak kediaman penduduk terjejas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!