Dakwaan Wan Saiful tunjukkan PH sudah gerun

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengenai gabungan Umno-Pas jelas menunjukkan PH mula gerun mengenai penolakan rakyat terhadap kepimpinan parti itu.

Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, kenyataan sedemikian juga menunjukkan PH kurang bijak kerana meletakkan tohmahan kepada Umno yang diakui lebih berpengalaman.

“Itu menunjukkan mereka terdesak, kenapa mahu dibangkitkan mengenai hal kaum dan agama, kerana lebih setengah abad Umno dominan dalam BN memerintah kerajaan, kita tidak pernah menafikan mana-mana kaum.

“Tiada kaum ditindas, tiada yang dilarang daripada menganut agama masing-masing dalam negara ini, cuma asas patriotik dan kesetiaan kepada tanah air, kita jaga keistimewaan bumiputera khususnya Melayu.

“Mengapa pertikai perkara yang sudah ditunjukkan contoh, adakah kerana mereka ini sudah mula gerun kerana satu-satu kawasan mereka sudah mula ditolak kerana janji tidak ditunaikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, kerjasama Umno dan Pas adalah telus dan hanya berpaksikan dalam memartabatkan semula kepentingan Islam dan Melayu di negara ini.

“Kita memperjuangkan perkara yang sama dan Pas saya yakin mereka memandang tinggi kepada darjat Islam itu sendiri. Wan Saiful menuduh perkara seperti ini kerana dia dan partinya takut dua parti terbesar orang Melayu akan bersekutu.

“Dalam masa sama, penolakan terhadap Bersatu akan terus menunjukkan jurang yang jauh. Dalam PH sendiri kita lihat sudah mula kegoyahannya apabila beberapa PRK seperti Cameron Highlands baru-baru ini, mereka sudah ditolak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hairi berkata, mengenai agenda peribadi parti yang dilihat bahaya, sepatutnya perkara itu ditujukan sendiri kepada PH kerana mereka sendiri tidak mampu mengawal asas kerjasama mereka.

“Umno dan Pas, kita tahu ada perjuangan yang sama, tetapi dalam PH adakah ia sama? mereka sendiri pun bertelagah, macam isu LGBT ada yang sokong ada yang nak tolak, mereka tiada persefahaman,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!