Kerajaan Sarawak-Petronas meterai perjanjian komersial
SHAH ALAM - Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memeterai sebuah perjanjian komersial di Kuala Lumpur hari ini bagi menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak serta gas di negeri tersebut.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak itu dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak serta membuka pelbagai peluang perniagaan dan pembangunan industri yang berkaitan di negeri berkenaan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga amat mengalu-alukan persetujuan di antara kerajaan Sarawak dan Petronas itu.
"Penyelesaian isu berkaitan pengurusan minyak dan gas ini termasuk persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum di Sarawak yang dicapai sebelum ini dan akan membolehkan kerajaan negeri itu memperluas kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat.
"Perjanjian yang dimeterai hari ini juga membolehkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), iaitu anak syarikat milik kerajaan Sarawak memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas," katanya.
Menurut Pejabat Perdana Menteri itu lagi, ia juga bakal membuka peluang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat di dalam industri khidmat minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri tersebut.
Pada masa yang sama katanya, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.
"Persetujuan serta permuafakatan kedua-dua pihak dalam memeterai perjanjian komersial ini sesungguhnya melambangkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perkara ini secara bersama dengan kerajaan Sarawak.
"Diharapkan penyelesaian isu ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, selain memastikan pembangunan wilayah yang inklusif agar nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!