Pekerja ladang estet warga Indonesia maut kemalangan
JEMPOL - Seorang pekerja ladang estet Kampung Lendu, Melaka maut apabila kereta dinaikinya terlibat kemalangan di Kilometer 22 Jalan Bahau-Keratong (sebelum simpang ke Pulapah), dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 7.20 pagi itu melibatkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan kereta Proton Iswara.
Katanya, mangsa, Kateno Torefa, 57, merupakan warga Indonesia maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan lain, manakala pemandu Toyota Hilux hanya cedera ringan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta pacuan empat roda dari arah Serting Hilir menghala ke Bahau, dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan.
"Toyota Hilux telah bertembung dengan kereta yang dipandu oleh mangsa yang datang dari arah bertentangan, sehingga menyebabkan mangsa cedera parah dan disahkan meninggalkan dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!