31 individu terpilih terima darjah, bintang kebesaran

Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 31 individu terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah 11 Disember ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, sebanyak 1,096 pencalonan diterima bagi darjah dan bintang kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

"Hanya 31 individu ataupun kira-kira tiga peratus terpilih daripada jumlah tersebut, dua orang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

"Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) membawa gelaran 'Datuk Setia' pula turut dianugerahkan kepada dua penerima manakala 11 individu menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Datuk’," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sebanyak 3,000 permohonan diterima bermula 16 Jun hingga 17 Ogos lalu termasuk 1,904 permohonan bagi pencalonan pingat-pingat Negeri Selangor.

"Sultan Sharafuddin telah memenuhi kouta darjah dan bintang kebesaran yang ditetapkan untuk dikurniakan kepada petugas barisan hadapan ‘frontliner’ sekali gus ini sebagai menghargai jasa, pengorbanan, dedikasi dan kecemerlangan dalam menggalas tugas serta tanggungjawab tanpa mengira masa bagi memerangi pandemik Covid-19," katanya.

Tambahnya, semua penerima telah melepasi tapisan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Artikel Berkaitan: