Bomba Lintas, Tuaran positif Covid-19
KOTA KINABALU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengesahkan sembilan anggota dan pegawai membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan BBP Tuaran positif Covid-19 sejak 21 November lalu.
Pengarahnya, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, kesemua mereka sedang dirawat di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Covid-19 manakala anggota yang lain dikenakan kuarantin.
Beliau berkata, seramai lima anggota termasuk seorang penyelia di BBP Lintas sedang menerima rawatan di PKRC dan dalam keadaan stabil manakala seramai 37 yang menjalani ujian calitan dikenakan kuarantin.
"Bagi BBP Tuaran pula seramai empat orang disahkan positif Covid-19 termasuk ketua balai dan seramai 46 anggota dikenakan kuarantin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, kesemua anggota di kedua-dua balai itu mendapat jangkitan daripada ahli keluarga salah seorang anggota dan menular kepada anggota yang lain.
Tambah Kamarulzaman lagi, BBP Tuaran tidak dapat beroperasi ketika ini susulan semua anggota dikuarantin.
Bagaimanapun katanya, operasi tidak terjejas kerana balai bomba berhampiran termasuk BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang akan membantu.
"Setakat ini jumlah kumulatif anggota JBPM Sabah yang mendapat jangkitan Covid-19 adalah seramai 34 orang namun tiada yang kritikal kecuali hanya seorang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 pada awal bulan lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!