Mayat ditemui tergantung dalam rumah terbiar di hutan
GOMBAK - Mayat seorang lelaki ditemui tergantung dalam sebuah rumah di hutan Gombak Tengah Tambahan, Kilometer 10 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan tersebut pada jam 10.50 pagi tadi sebelum pihaknya bersama pasukan bomba, unit forensik dan anjing pengesan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati satu rangka lengkap berpakaian, berseluar jeans biru dan baju belang coklat putih ditemui dalam keadaan tidak sempurna di lokasi tersebut.
"Bahagian tengkorak kepala berada di lantai, manakala bahagian badan masih tergantung dengan tali yang diikat pada kayu bumbung rumah tersebut.
"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menjumpai apa-apa pengenalan diri pada mayat tersebut. Status masih belum diketahui," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arifai berkata, rumah tersebut telah lama ditinggalkan namun tidak diketahui pemiliknya selain tiada penduduk tinggal berdekatan kawasan tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang tanda adanya unsur jenayah dalam kejadian itu.
"Petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak (PKD) Gombak telah mengambil sampel daripada rangka mayat itu untuk ujian Covid-19.
"Rangka manusia tersebut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh.
Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini atau kehilangan keluarga diminta menghubungi Ketua Polis Balai Gombak, Asisten Superintendan Syed Azizi Jamalullail Syed Abdul Aziz di talian 03-61895222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!