Maduro dakwa menang Pilihan Raya Parlimen Venezuela
CARACAS - Presiden Venezuela, Nicolas Maduro semalam mendakwa beliau menguasai sepenuhnya institusi politik di negara itu susulan kemenangan besar diperoleh Parti Sosialis pimpinannya pada Pilihan Raya Parlimen 2020 yang turut diboikot parti pembangkang utama dipimpin Juan Guaido pada Sabtu lalu.
Presiden Majlis Pemilihan Nasional, Indiro Alfonzo berkata, Maduro dan sekutu berhaluan kiri dilaporkan memperoleh 67.7 peratus daripada lebih 80 peratus undi yang telah dikira, manakala blok pembangkang yang tidak menyertai langkah boikot itu meraih 18 peratus.
Jumlah penduduk yang keluar mengundi juga adalah rendah iaitu hanya 31 peratus.
Kemenangan awal tersebut menjadikan Parti Sosialis kini memperluaskan kekuasaan mereka di Parlimen negara itu yang mempunyai 227 kerusi dan dimonopoli pembangkang sebelum ini.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo bagaimanapun mengecam pemilihan itu yang yang didakwa dicemari penipuan.
Menteri Luar Brazil, Ernesto Araujo juga senada dengan Pompeo dan mendakwa pilihan raya itu sebagai cubaan Maduro untuk mengesahkan rejim pemerintahannya.
Sementara itu, Kanada menyatakan ia tidak akan mengiktiraf keputusan terbabit dan akan sentiasa berdiri bersama rakyat Venezuela yang berjuang untuk mengembalikan semula demokrasi di negara tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!