Ugut tetak ibu, bapa tiri tapi sebenarnya...
SETIU - Seorang lelaki tiba-tiba mengamuk dan mengugut mahu menetak bapa tiri dan ibunya dengan parang dalam kejadian di rumah mereka di Bari Besar, di sini, Jumaat lalu.
Kejadian itu dikatakan berlaku apabila bapa tiri suspek yang berusia 61 tahun mengajak isterinya berusia 46 tahun ke klinik di Kuala Terengganu kerana penyakit asma dihidapinya kira-kira jam 1.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, suspek yang berada di luar rumah terdengar perbualan pasangan suami isteri berkenaan lalu memarahi ibunya.
Menurutnya, suspek turut mengacukan sebilah parang sambil mengugut mahu menetak ibu dan bapa tirinya yang membuatkan pasangan itu ketakutan.
"Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak demikian kerana menyangka bapa tiri meminta wang daripada ibunya," katanya.
Zulkifli berkata lagi, ibu suspek yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga tampil membuat laporan di Balai Polis Penarik untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, susulan laporan tersebut polis telah berjaya memberkas suspek berusia 22 tahun di Bari Besar, di sini kira-kira jam 7 malam hari sama.
Katanya, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis pil kuda dan polis turut merampas sebilah parang dan dua biji pil kuda.
"Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!