JKNJ nafi 60 positif Covid-19 di Kampung Pasir Putih
JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan 60 pesakit Covid-19 positif dikesan di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, berita itu yang tular dalam media sosial itu tidak benar sama sekali.
"Sehubungan itu masyarakat diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Facebook Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir Putih memuat naik status berkaitan tular pesan suara dalam media sosial yang memberitahu terdapat jangkitan Covid-19 melibatkan 60 penduduk di kampung terbabit.
"Diminta semua pihak tidak menimbulkan keadaan panik dalam kalangan masyarakat. Jika didapati sengaja menimbulkan spekulasi sehingga mengakibatkan situasi panik, tindakan undang-undang akan diambil.
"Biarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan tugas mereka. Kita jaga keselamatan masing-masing dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," demikian menurut status Facebook itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!